Connect with us

Terkini

Hospital Putrajaya diiktiraf antara hospital terbaik dunia 2025

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Hospital Putrajaya
  • Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pengiktirafan itu bukan sekadar angka atau gelaran tetapi cerminan kepada dedikasi doktor, jururawat dan petugas perubatan yang bertungkus-lumus memberikan layanan terbaik kepada pesakit.
  • “Kejayaan ini adalah milik semua pesakit yang percaya dan memberi sokongan, keluarga yang setia menemani serta masyarakat yang menghargai usaha murni wira kesihatan ini.
  • “Semoga Hospital Putrajaya terus menjadi lambang kecemerlangan dan inspirasi kepada seluruh institusi perubatan di tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

PUTRAJAYA — Hospital Putrajaya (HPj) telah melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai satu daripada Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek dan Statista, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pengiktirafan itu bukan sekadar angka atau gelaran tetapi cerminan kepada dedikasi doktor, jururawat dan petugas perubatan yang bertungkus-lumus memberikan layanan terbaik kepada pesakit.

“Kejayaan ini adalah milik semua pesakit yang percaya dan memberi sokongan, keluarga yang setia menemani serta masyarakat yang menghargai usaha murni wira kesihatan ini.

“Semoga Hospital Putrajaya terus menjadi lambang kecemerlangan dan inspirasi kepada seluruh institusi perubatan di tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semakan menerusi laman Newsweek dan Statista mendapati HPj menduduki tempat ke-29 dengan skor 71.59 peratus.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran media sosialnya turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga HPj atas pencapaian itu.

Beliau berkata pengiktirafan berprestij itu adalah hasil daripada penilaian bebas dan telus berdasarkan parameter utama antaranya cadangan dan penilaian daripada rakan-rakan profesional perubatan, metrik kualiti hospital dan pengalaman pesakit.

“Kejayaan ini adalah bukti komitmen berterusan setiap anggota hospital – daripada barisan hadapan hingga ke pentadbiran – dalam memberikan rawatan yang berkualiti tinggi, selamat, dan berfokuskan pesakit.

“Semoga pengiktirafan ini terus menjadi inspirasi untuk kita semua mengekalkan kecemerlangan dan memperkukuh lagi HPj sebagai pusat penjagaan kesihatan pilihan utama negara,” katanya. — BERNAMA

Author