Terkini
SKMM siasat pempengaruh berhubung cubaan dedah maklumat peribadi tanpa kebenaran

- SKMM sahkan pihaknya siasat seorang pempengaruh media sosial selepas menerima aduan daripada orang awam mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi & Multimedia (AKM 1998).
- Tanpa mendedahkan identiti pempengaruh itu, SKMM berkata dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada 25 dan 28 April 2025.
- Siasatan awal mendapati kandungan dikaitkan dengan pempengaruh terbabit melibatkan penyebaran maklumat palsu berhubung Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.
- Selain, cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan pihaknya melakukan siasatan ke atas seorang pempengaruh media sosial selepas menerima aduan daripada orang awam mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi & Multimedia (AKM 1998).
Tanpa mendedahkan identiti pempengaruh itu, SKMM berkata dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya masing-masing pada 25 dan 28 April 2025 (hari ini).
Katanya, siasatan awal mendapati kandungan dikaitkan dengan pempengaruh terbabit melibatkan penyebaran maklumat palsu berhubung Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.
Selain, cubaan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi.
“SKMM menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998, dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” kata SKMM menerusi satu kenyataan media yang disiar di Facebook hari ini.
SKMM juga mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan berkaitan isu 3R iaitu agama, kaum dan Institusi Diraja serta kandungan bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.– The Merdeka Times
