Connect with us

Politik

DAP tiada agenda pinda Perlembagaan – Syahredzan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan
  • Jaminan itu diberi Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan yang juga sebagai maklum balas kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam yang dilapor menyatakan sekalipun DAP mempunyai 148 kerusi di Parlimen, ia tidak memungkinkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera dipinda.
  • Syahredzan menegaskan sekali lagi bahawa parti DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Ia termasuk berkenaan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain di Malaysia.

KUALA LUMPUR — Parti Tindakan Demokratik (DAP) sekali lagi menegaskan parti politik itu tidak mempunyai sebarang niat atau agenda untuk mengubah mahupun meminda perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan itu diberi Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan yang juga sebagai maklum balas kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam yang dilapor menyatakan sekalipun DAP mempunyai 148 kerusi di Parlimen, ia tidak memungkinkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera dipinda.

Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi menegaskan sekali lagi bahawa parti DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia termasuk berkenaan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain di Malaysia.

“Pendirian ini telah dinyatakan berkali-kali oleh pemimpin-pemimpin parti dan juga oleh para perwakilan dalam persidangan dan kongres parti. Terbaru, ia dizahirkan sekali lagi dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berlangsung pada bulan Mac lepas.

“Oleh itu, tidak timbul langsung apa-apa niat atau agenda DAP untuk mengubah atau meminda perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini jaminan DAP yang telah berkali-kali dinyatakan.

“Perjuangan DAP adalah demi negara Malaysia untuk rakyat Malaysia. Perjuangan ini mengikut lunas undang-undang dan dapat dibuktikan melalui penglibatan DAP secara konsisten dalam proses demokrasi dan pilihan raya negara,” kata Syahredzan menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Syahredzan Johan.

Beliau juga menyeru semua pihak, sama ada kawan atau lawan untuk tidak lagi mempersoal pendirian DAP mengenai perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Asyraf Wajdi menjelaskan sebarang pindaan Perlembagaan membabitkan kedudukan Islam dan Melayu, Bumiputera – iaitu Perkara 3 dan 153 tidak akan berlaku jika tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, itu adalah perkara asas yang perlu difahami supaya segala fitnah dan tohmahan yang menyatakan seolah-olah UMNO hari ini akan menjual negara, perjuangan Islam dan bangsanya kepada orang lain (dihentikan). — The Merdeka Times

Author