Politik
PRK DUN Ayer Kuning : Kerajaan Madani sepatutnya tidak ulangi taktik kotor – BERSIH

- Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata terdapat tiga insiden boleh dianggap sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan, serta taktik yang menjejaskan integriti proses pilihan raya dengan berkempen secara tidak adil.
- Antara kesalahan tersebut, katanya, membabitkan pengumuman bersyarat oleh Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 12 April lalu yang berikrar bahawa projek pembangunan di Ayer Kuning akan diteruskan jika calon Barisan Nasional menang PRK pada Sabtu ini.
- “Pengumuman bersyarat sebegini merupakan satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mempengaruhi undi secara tidak wajar oleh pihak Kerajaan Persekutuan.” – Jawatankuasa Pemandu BERSIH
- Insiden kedua, menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH adalah berkenaan pemberian duit raya semasa tempoh kempen pilihan raya.
KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini mendakwa terdapat beberapa pelanggaran prinsip pilihan raya bebas dan adil berlaku sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata terdapat tiga insiden boleh dianggap sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan, serta taktik yang menjejaskan integriti proses pilihan raya dengan berkempen secara tidak adil.
Antara kesalahan tersebut, katanya, membabitkan pengumuman bersyarat oleh Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 12 April lalu yang berikrar bahawa projek pembangunan di Ayer Kuning akan diteruskan jika calon Barisan Nasional menang PRK pada Sabtu ini.
“Pengumuman bersyarat sebegini merupakan satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mempengaruhi undi secara tidak wajar oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
“Taktik ini adalah taktik kotor yang sepatutnya tidak diulangi oleh Kerajaan Madani yang katanya mengangkat slogan keadilan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook yang turut disertakan pautan artikel bertajuk, ‘Zahid vows to support Ayer Kuning development if BN wins by-election’.
Insiden kedua, menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH adalah berkenaan pemberian duit raya semasa tempoh kempen pilihan raya.

Foto: Tangkap layar ciapan MalaysiaGazette di X yang dikongsi pautannya oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam hantaran Facebook tersebut.
Katanya, dalam satu program ramah mesra anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tapah, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilihat telah menyampaikan duit raya kepada orang ramai.
“Walaupun pemberian ini melalui agensi kerajaan, pemberian sebegini dalam tempoh kempen dan di kawasan PRK boleh ditafsir sebagai bentuk pemberian yang mempengaruhi pengundi, yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil ibrah daripada petisyen pilihan raya yang menyebabkan PRK Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini,” kata Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan media bertajuk, “BERSIH Kecam Salah Laku Pilihan Raya oleh Kerajaan di PRK Ayer Kuning”.
PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.

Foto: Tangkap layar ciapan MG Perak di X yang dikongsi pautannya oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam hantaran Facebook tersebut.
Menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH, pelanggaran prinsip pilihan raya bebas dan adil yang didapati turut berlaku adalah penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen di mana Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani dilihat hadir dalam program rasmi Town Hall Bersama Anak Muda di Kompleks Sukan Tapah bersama calon PRK.
“Ia jelas menunjukkan penyalahgunaan jentera dan fasiliti kerajaan untuk tujuan kempen.
“Ini melanggar prinsip asas pemisahan antara kerajaan dan parti serta menyalahgunakan kelebihan sebagai penyandang jawatan untuk memberi kelebihan tidak adil kepada calon tertentu.
“BERSIH mempersoalkan tempat dan masa program ini dijalankan kerana Kerajaan Negeri Perak sudah tentu sedia maklum bahawa majlis tersebut adalah ketika tempoh berkempen,” katanya.
Justeru, pihaknya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua pihak terlibat agar kempen pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih.
Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diminta menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah politik dalam pemberian serta pengumuman yang dibuat sepanjang kempen. — The Merdeka Times
