Terkini
Daun pulai ditemui dalam bronkus, perut Zayn Rayyan – Saksi

- Pegawai penyiasat kanan kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin bahawa, terdapat daun pulai ditemukan dalam rongga pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak autistik itu.
- Saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail berkata dapatan itu hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zayn Rayyan, selain keputusan analisis oleh ahli kimia terhadap objek asing yang ditemui pada kedua-dua abdomen itu.
KUALA LUMPUR — Pegawai penyiasat kanan kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin bahawa, terdapat daun pulai ditemukan dalam rongga pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak autistik itu.
Saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail berkata dapatan itu hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zayn Rayyan, selain keputusan analisis oleh ahli kimia terhadap objek asing yang ditemui pada kedua-dua abdomen itu.
“Saya terima laporan awal daripada ahli kimia mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing yang terdapat dalam bronkus Zayn Rayyan yang dihantar untuk analisa adalah sejenis tumbuhan daun pulai.
“Berdasarkan maklumat ini, saya jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai anggaran 10 meter dari tempat mayat Zayn Rayyan ditemui,” katanya dipetik media tempatan semalam ketika membacakan pernyataan saksi.
Perkara itu didedahkan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan hari ke-17 kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mohd Hafizee, 38, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, dia menerima laporan hasil analisis kimia pada jam 8.55 malam, 12 Disember 2023.
“Pada jam 1.21 petang, 7 Disember 2023, hasil bedah siasat ke atas mayat Zayn Rayyan Abdul Matin terdapat kesan kecederaan yang berunsurkan jenayah.
“Semasa saya tiba dalam bilik bedah siasat, proses (bedah siasat) sedang dijalankan dan Dr Rohayu Shahar Adnan (pakar perunding forensik) menunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri Zayn Rayyan seperti terkulai, lengan kanan terdapat kesan toreh dan dubur terdapat kesan tusukan objek,” katanya.
Mohd Hafizee yang kini bertugas sebagai pegawai risikan dan operasi kanan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan berkata terdapat beberapa kecederaan lain antaranya kesan lebam di bahagian dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang yang ditemui pada mayat mangsa.
“Kesan kecederaan luka di bahagian telinga kiri, kesan lebam dan jerutan di bahagian leher, kesan luka seperti terhiris di bahagian lengan kanan, beberapa kesan kecederaan koyakan di bahagian dubur dipercayai menggunakan objek tumpul serta cebisan objek asing di dalam bronkus dan perut,” katanya.
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-27, Dr Rohayu dalam keterangannya mengesahkan terdapat benda asing ditemui pada rongga pernafasan sebelah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan.
Hasil bedah siasat itu juga menunjukkan, lelangit arwah turut lebam menunjukkan benda asing dimasuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut dan benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana Zayn Rayyan bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).
Sementara itu, Mohd Hafizee memaklumkan berikutan hasil bedah dikatakan mempunyai unsur jenayah, dia membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagaimana arahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Petaling Jaya.
“Pada 10.30 malam (7 Disember 2023), saya bersama pasukan bergerak menuju ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di Apartmen Idaman, saya bersama pasukan pergi ke rumah Zayn Rayyan iaitu di tingkat dua bersama-sama pasukan siasatan yang terdiri daripada pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais dalam bilik pertama di hadapan dapur.
“Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut itu untuk siasatan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan dijalankan pada 31 Mei 2024, kedua-dua tertuduh (Zaim Ikhwan dan Ismanira) ditangkap untuk siasatan berhubung kes yang kemudian pada 10 Jun 2024.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — The Merdeka Times
