Terkini
UniSIRAJ sasar perkenal program pengajian baharu termasuk AI

- Rektor UniSIRAJ, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata komitmen untuk program baharu itu bagi memenuhi keperluan semasa dunia pekerjaan sekali gus melahirkan siswazah yang seiring visi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor universiti itu.
- Pada masa ini UniSIRAJ mempunyai 28 program pengajian antaranya Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan selain Asasi Pengajian Islam serta Diploma Syariah.
KANGAR — Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) menyasarkan untuk memperkenalkan program pengajian baharu antaranya bidang kecerdasan buatan (AI) selaras dengan dasar kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Rektor UniSIRAJ, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata komitmen untuk program baharu itu bagi memenuhi keperluan semasa dunia pekerjaan sekali gus melahirkan siswazah yang seiring visi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor universiti itu.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UniSIRAJ di Dataran Pelajar Kampus Kuala Perlis UniSIRAJ dekat sini semalam.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Muhamad Rozaimi berkata pada masa ini UniSIRAJ mempunyai 28 program pengajian antaranya Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan selain Asasi Pengajian Islam serta Diploma Syariah.
Mengulas perkembangan institusi itu, Muhamad Rozaimi berkata UniSIRAJ mencatatkan peningkatan kemasukan pelajar setiap tahun dengan lebih 600 mahasiswa direkodkan bagi sesi tahun ini berbanding sasaran 550 orang tahun lepas.
“Walaupun berdepan kekangan fasiliti, kami akan mengawal kemasukan dan terus berusaha memperbaiki kemudahan di sini.
“Kami juga menjalankan kempen menarik anak Perlis, antaranya pemberian tablet percuma kepada mahasiswa baharu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.
Beliau turut menyasarkan memperoleh sekurang-kurangnya penarafan tiga bintang bagi penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA) dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan kecemerlangan universiti berkenaan. — BERNAMA
