Terkini
Dakwa Malaysia tiada duit: Anwar sifatkan pengulas politik AS jahil

- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengulas politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly seorang yang ekstrem dan dangkal ilmu dengan mengeluarkan kenyataan bahawa warga Malaysia tidak mempunyai wang.
- “(Kenyataan ini) Gambaran sikap ekstrem dan keangkuhan seorang (Bill O’Reilly) yang sebenarnya dangkal ilmu dan jahil. Mereka anggap hanya kelompok dia dan negeri dia sahaja yang paling berjaya.
- “Tentunya dia tidak ada kefahaman sama sekali tentang Asia, tentang ASEAN serta tentang perkembangan baru,” katanya dipetik MalaysiaGazette hari ini selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan di Putrajaya.
- Anwar mengulas kenyataan O’Reilly yang memperlekehkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke tiga negara ASEAN, termasuk Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Vietnam dan Kemboja.
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengulas politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly seorang yang ekstrem dan dangkal ilmu dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mempunyai wang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenyataan O’Reilly itu menunjukkan beliau tidak mempunyai kefahaman mengenai ASEAN.
“(Kenyataan ini) Gambaran sikap ekstrem dan keangkuhan seorang (Bill O’Reilly) yang sebenarnya dangkal ilmu dan jahil. Mereka anggap hanya kelompok dia dan negeri dia sahaja yang paling berjaya.
“Tentunya dia tidak ada kefahaman sama sekali tentang Asia, tentang ASEAN serta tentang perkembangan baru,” katanya dipetik MalaysiaGazette hari ini selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan O’Reilly yang memperlekeh lawatan Presiden China, Xi Jinping ke tiga negara ASEAN, termasuk Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Vietnam dan Kemboja.
O’Reilly sebelum ini menganggap ketiga-tiga negara terbabit tidak mempunyai kemampuan menyokong China daripada segi ekonomi dengan menyatakan penduduk Malaysia tidak mempunyai wang.
“Hai Presiden Xi (Jinping), biar saya berterus terang. Mereka tiada duit langsung. Mereka tak boleh tolong kamu, mereka tak akan beli barang kamu sebab mereka tak ada duit,” kata O’Reilly dalam klip video yang dikongsi di X.
Bekas hos Fox News itu juga dilapor kelihatan bingung dengan rasional strategik di sebalik lawatan serantau Jinping dan berkata pemimpin China itu mungkin cuba mengelak tekanan ekonomi dan penelitian antarabangsa.
Jinping berlepas ke Kemboja pada Khamis selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari bermula Selasa ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Anwar menyifatkan kenyataan O’Reilly seperti seorang yang masih terperangkap dalam pemikiran imperialis dan penjajahan.
“Jadi kita jangan terlalu gusar kerana ini suatu perkara yang masih ada. Ini yang menyebabkan ada sikap xenofobia (kebencian terhadap orang asing) dan Islamofobia,” katanya. — The Merdeka Times
