Terkini
(VIDEO) Himpunan Al-Quds: Keranda dan ‘mayat berdarah’ diarak ke Kedutaan Amerika Syarikat
KUALA LUMPUR — Himpunan Hari Al-Quds Sedunia 2025 yang diadakan hari ini menyaksikan kelainan apabila beberapa buah keranda dan replika mayat berdarah diusung dari perkarangan Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
Aktivis kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan keranda dan ‘mayat berdarah’ itu berkata kehadiran dua objek tersebut untuk menampilkan kelainan memandangkan di negara luar komitmen mereka dalam menunjukkan solidariti ke atas Palestin adalah sangat tinggi dan bersungguh-sungguh.
Justeru, katanya masyarakat di negara ini perlu melakukan yang terbaik untuk menyatakan hasrat dan solidariti mereka dalam memperjuangkan rakyat Palestin yang berterusan berdepan genosid rejim Israel.

Foto: Aktivis kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain mengusung replika mayat berdarah dari perkarangan Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
“Kalau kita semua tahu bahawa terdapat lapan ahli atau anggota MAPIM yang syahid baru-baru ini dan kita ada lebih kurang lapan mayat seperti kanak-kanak dan juga dewasa untuk menyatakan inilah hasil kekejaman mereka (rejim Israel).
“Keranda itu pula nak menunjukkan dimana akan tiba satu hari nanti keranda itu akan diduduki Netanyahu dan juga berapa lagi pemimpin-pemimpin Israel yang sangat kejam,” kata Lila ketika ditemui The Merdeka Times (TMT) di perhimpunan tersebut di sini hari ini.

Foto: Aktivis kemanusiaan, Lila Ruzaini Hussain (kiri) & Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abushammala (kanan)
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abushammala ketika ditemui TMT pula menuntut supaya negara Malaysia mengetuai satu gabungan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan bukan sekadar mengecam tindakan itu.
“Kami berharap Malaysia mengetuai satu gabungan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai, bukan sekadar mengecamnya… Saya percaya rakyat Malaysia telah melakukan banyak usaha (dalam memperjuangkan Palestin), dan kami (rakyat Palestin) memerlukan mereka (rakyat Malaysia) untuk terus menghidupkan isu Palestin dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.
“Saya juga mempunyai mesej khas untuk media supaya berusaha lebih banyak untuk Palestin dan memastikan isu Palestin terus hidup melalui saluran media, akhbar, dan semua platform media yang ada,” kata Dr Sharif yang juga merupakan seorang rakyat Palestin yang berasal dari Gaza.

Foto: Tun Mahathir Mohamad berucap di Himpunan Hari Al-Quds Sedunia 2025
Himpunan Hari Al-Quds Sedunia yang berlangsung secara aman itu dianggarkan dihadiri lebih 1,000 orang yang bermula berhimpun di perkarangan Masjid Tabung Haji, sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat untuk menyerahkan nota bantahan rasmi bagi menggesa nasib rakyat Palestin dibela.
Perarakan disertai pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan aktivis itu dilihat membawa bersama keranda, replika jenazah bayi dan dewasa serta plakad ‘hentikan genosid’.
Mengulas berkenaan penyerahan memorandum kepada kedutaan Amerika Syarikat (AS), salah seorang penganjur himpunan itu iaitu Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan keengganan pihak kedutaan terbabit menerima memorandum yang ingin diserahkan kepada mereka sebagai biadap.
Menurut Mohd Azmi pihak kedutaan terbabit bertindak menutup pintu dan hanya berpesan kepada pegawai polis untuk memasukkannya ke dalam peti surat.
“Ini adalah kebiadaban yang jelas, ini bukan lagi kaedah negara di mana dia benarkan hubungan diplomatik… Kita menyatakan bantahan kita sekerasnya terhadap sikap itu.
“Memorandum itu ada perkara-perkara yang telah kita sebut iaitu yang pertama ialah soal Al-Aqsa kerana hari ini adalah International Quds Day… Kita menyebut bahawa Al-Aqsa adalah garis merah.

Foto: Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid di Himpunan Hari Al-Quds Sedunia 2025
“Jelas dalam memorandum itu, kita tekankan (juga) bahawa Amerika boleh jadi hamba kepada Israel dan sekarang Amerika betul-betul hanya melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Israel, termasuk plan nak mengambil Gaza,” kata Mohd Azmi ketika ditemui media selepas menyerahkan memorandum itu.
Menurut media tempatan, Hari Al-Quds merupakan perhimpunan tahunan oleh umat Islam, diadakan pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan sebagai tanda solidariti kepada kesengsaraan rakyat Palestin akibat penindasan rejim Zionis.
Dinamakan bersempena panggilan lazim masyarakat Arab bagi Baitulmaqdis, perarakan diadakan di merata dunia Islam bagi membantah pendudukan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur. — The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login