Antarabangsa
PBB: Ratusan ribu orang di Gaza berisiko kebuluran, bekalan makanan hanya cukup 2 minggu
- “WFP mempunyai kira-kira 5,700 tan stok makanan yang tinggal di Gaza — mencukupi untuk menyokong operasi WFP selama maksimum dua minggu.” – WFP.
- “Peningkatan aktiviti ketenteraan di Gaza mengganggu operasi bantuan makanan dan meletakkan nyawa pekerja bantuan dalam bahaya setiap hari.”
- WFP berkata mereka dan pihak lain dalam sektor keselamatan makanan telah tidak dapat membawa bekalan makanan baharu ke Gaza selama lebih tiga minggu.
GAZA – Bekalan makanan untuk ratusan ribu mangsa perang Gaza hanya cukup untuk dua minggu dan mereka berisiko mengalami kebuluran teruk dan kekurangan zat makanan.
Itu amaran terbaru yang dikeluarkan oleh Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilaporkan Arab News.
“WFP mempunyai kira-kira 5,700 tan stok makanan yang tinggal di Gaza — mencukupi untuk menyokong operasi WFP selama maksimum dua minggu,” kata agensi yang berpangkalan di Rome itu dalam satu kenyataan.
Israel menyambung semula operasi ketenteraan di wilayah Palestin itu lebih seminggu lalu, memecahkan ketenangan sementara yang dicapai melalui gencatan senjata.
PBB sebelum ini melaporkan operasi ketenteraan Israel yang terbaru telah menyebabkan 142,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam masa hanya tujuh hari dan pertubuhan itu memberi amaran tentang kekurangan bekalan selepas Israel menyekat semula bantuan kemanusiaan ke Gaza.
WFP berkata mereka dan pihak lain dalam sektor keselamatan makanan telah tidak dapat membawa bekalan makanan baharu ke Gaza selama lebih tiga minggu.
“Ratusan ribu orang di Gaza sekali lagi berisiko mengalami kebuluran teruk dan kekurangan zat makanan apabila stok makanan kemanusiaan di wilayah itu semakin berkurangan dan sempadan masih ditutup kepada bantuan.
“Peningkatan aktiviti ketenteraan di Gaza mengganggu operasi bantuan makanan dan meletakkan nyawa pekerja bantuan dalam bahaya setiap hari,” tambah WFP.
Agensi itu menyatakan bahawa disebabkan keadaan keselamatan yang semakin merosot dan perpindahan penduduk yang pantas, mereka akan mengagihkan sebanyak mungkin makanan secepat yang boleh.
Mereka juga mengurangkan jumlah bekalan makanan per individu supaya lebih ramai orang dapat menerima bantuan keseluruhan.
WFP merancang untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada 500,000 orang, yang dijangka mencukupi untuk menyara sebuah keluarga selama kira-kira seminggu. – The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login