Antarabangsa
Bekas Mufti Besar Syria pro Assad, Ahmad Badreddin Hassoun ditahan di Lapangan Terbang Damsyik
- Sumber menyatakan Hassoun ditahan ketika cuba meninggalkan Syria menuju Jordan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik bagi menjalani pembedahan di Amman.
- Walaupun telah mendapat kebenaran rasmi untuk meninggalkan Syria beliau tetap ditahan.
- Gambar beliau dengan mata tertutup menggunakan kain penutup mula tersebar di media sosial.
- Hassoun merupakan figura yang sangat kontroversi di Syria kerana kenyataannya mengenai revolusi Syria serta sokongannya terhadap rejim Bashar al-Assad.
DAMSYIK – Bekas Mufti Besar Syria, Ahmad Badreddin Hassoun, ditahan di lapangan terbang ketika beliau cuba melakukan perjalanan ke Jordan untuk menjalani pembedahan.
Menurut sumber Al Mayadeen, Hassoun ditahan oleh pasukan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik.
Sumber itu menyatakan Hassoun ditahan ketika cuba meninggalkan Syria menuju Jordan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik bagi menjalani pembedahan di Amman.
Selepas melepasi pemeriksaan imigresen dan menuju ke kawasan bebas cukai, beliau ditahan pegawai keselamatan dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.
Tidak lama kemudian, gambar beliau dengan mata tertutup menggunakan kain penutup mula tersebar di media sosial.
Walaupun telah mendapat kebenaran rasmi untuk meninggalkan Syria, Hassoun tetap ditangkap.
Menurut sumber, sebelum itu beliau telah diberi jaminan tiada sekatan terhadap perjalanannya dan boleh menggunakan kelulusan itu untuk berangkat.
Sebelum ini, bekas mufti besar itu mengesahkan sekumpulan lelaki bersenjata yang memakai seragam keselamatan memasuki rumahnya dan merompaknya.
Manakala di Aleppo, sekumpulan lelaki lain telah menceroboh kediamannya yang lain dan menghalang ahli keluarga daripada mengambil barang peribadi mereka di rumah tersebut.
Hassoun pernah berkhidmat sebagai Mufti Besar Syria dari tahun 2005 sehingga jawatan tersebut dimansuhkan pada tahun 2021 menyebabkan tokoh agama Sunni itu terpaksa bersara.
Hassoun merupakan figura yang sangat kontroversi di Syria kerana kenyataannya mengenai revolusi Syria serta sokongannya terhadap rejim Bashar al-Assad.– The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login