Terkini
Dakwaan kuil dibina atas tanah rizab surau, Pejabat Tanah minta ‘tanya’ DBKL
- “Kita tak boleh cerita pasal benda itu (isu Kuil Veppan Kaliamman)… so apa-apa dengan DBKL kalau nak… Sebab boss cakap macam tu, dia tak boleh cerita apa, dia diberitahu tidak boleh cerita apa,” kata Norlida, pembantu peribadi kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Teknikal, PPTGWP yang juga difahamkan merupakan individu yang bertanggungjawab dalam isu kuil berkenaan.
- Sejak Isnin, TMT berusaha mendapatkan maklum balas pihak PPTGWP berkenaan benarkah Kuil Sri Maha Veppan Kaliamman Kuala Lumpur yang terletak di Lot 58476 sebelum ini pernah menerima Notis Perobohan daripada Pejabat Tanah dan Galian WP.
- Dakwaan kuil itu dibina di atas tanah rizab surau turut dibangkitkan pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung yang menulis hantaran berkenaan di Facebook (FB), semalam.
KUALA LUMPUR — Susulan dakwaan Kuil Sri Maha Veppan Kaliamman Kuala Lumpur dibina di atas tanah rizab surau, pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) dalam maklum balas hari ini memberitahu pihaknya tidak boleh berkongsi sebarang maklumat berkenaannya.
Perkara itu dimaklumkan oleh pembantu peribadi kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Teknikal, PPTGWP yang juga difahamkan merupakan individu yang bertanggungjawab dalam isu kuil berkenaan.
Pembantu peribadi terbabit yang hanya dikenali sebagai Norlida berkata bosnya memaklumkan pihak mereka tidak boleh memberitahu apa-apa maklumat berkenaan isu itu, sebaliknya jika ada sebarang pertanyaan atau mahukan informasi boleh dapatkan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kita tak boleh cerita pasal benda itu (isu Kuil Veppan Kaliamman)… so apa-apa dengan DBKL kalau nak… Sebab boss cakap macam tu, dia tak boleh cerita apa, dia diberitahu tidak boleh cerita apa,” kata Norlida ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Sejak Isnin, TMT berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak PPTGWP berkenaan benarkah Kuil Sri Maha Veppan Kaliamman Kuala Lumpur yang terletak di Lot 58476 sebelum ini pernah menerima Notis Perobohan daripada Pejabat Tanah dan Galian WP.
Dakwaan kuil itu dibina di atas tanah rizab surau turut dibangkitkan pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung yang menulis hantaran berkenaan di Facebook (FB), semalam.
Menurut Firdaus Wong, pada 8 Mac lalu, beliau menerima aduan daripada seorang pengguna FB tentang sebuah kuil dibina secara haram di atas tanah rizab surau di Kepong dan hasil siasatan mendapati Lot 58476 itu memang telah dirizabkan untuk pembinaan surau oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 March 2003.

Foto: Tangkap layar kandungan menyatakan Lot 58476 telah dirizabkan untuk tapak surau.
Katanya, sebuah laman FB Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam pada 7 Oktober 2018 turut mengakui bahawa tapak itu (Lot 58476) memang diperuntukkan untuk surau.
Malah, pihak kuil didakwa telah menerima notis daripada Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2018 yang meminta mereka untuk merobohkan kesemua struktur dan mengosongkan tanah kerajaan selewat-lewatnya pada 11 Oktober tahun sama.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Sri Maha Mariamman Temple Devasthanam.
“Persoalan yang timbul adalah, sebelum dipindahkan ke Lot 58476, di manakah Kuil Veppan Kaliamman beroperasi & adakah juga berada di atas tanah orang lain atau tanah sendiri?
“Andai mereka beroperasi di tanah sendiri, kenapa perlu berpindah? Andai di atas tanah orang lain, kenapa mereka dapat tanah lain? Atas kapasiti apa?
“Tanah itu jelas milik kerajaan, maka timbul persoalan bagaimana Datuk Seri M Saravanan boleh menjanjikan tanah yang bukan miliknya pada 2010 untuk diberikan kepada pihak kuil sebagaimana didakwa? Sangat jelas, ianya telah dirizabkan untuk surau pada March 2003 lagi jadi bagaimana Saravanan boleh bagi tanah itu dan kuil haram dibina di situ?
“Notis telah dikeluarkan pada 5/10/2018 & mereka mesti berpindah keluar selewat-lewatnya pada 11/10/2018, HAMPIR 7 TAHUN berlalu! Struktur kuil masih ada & surau masih gagal dirikan di atas tanah rizab surau! Apakah ada pihak sedang melakukan sesuatu di belakang tabir atau pihak penguatkuasaan yang gagal menguatkuasakan undang-undang?
“Apakah terdapat perubahan status pada tanah rizab? Jikalau ya bila dan kenapa? Pihak berkuasa wajib menyiasat apakah berlaku salahlaku guna, pencerobohan, rasuah & pelbagai lagi jenayah dalam kes kuil yang dibina di atas tanah rizab surau di Kepong ini,” kata Firdaus Wong.
Sementara itu, The Merdeka Times hari ini juga masih berusaha menghubungi DBKL bagi mendapatkan maklum balas berkenaan isu tersebut. — The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login