Antarabangsa
Sentimen anti Muslim berleluasa di Switzerland
- Lebih daripada 35 peratus orang Islam di Switzerland menyatakan mereka pernah menjadi mangsa diskriminasi perkauman.
- Sentimen anti Muslim dapat dilihat dalam pelbagai institusi, termasuk pendidikan, pekerjaan, polis, dan media Switzerland.
- “Ia bukan sekadar masalah individu, tetapi terdapat masalah struktur dalaman komuniti. Nampaknya, sentimen anti-Muslim berakar umbi dalam masyarakat kita,” kata Hansjörg Schmid.
BERN – Sentimen anti-Muslim berleluasa dalam semua aspek kehidupan di Switzerland. Ini adalah hasil dapatan daripada kajian yang diterbitkan Pusat Islam dan Komuniti Switzerland.
“Ia bukan sekadar masalah individu, tetapi terdapat masalah struktur dalaman komuniti. Nampaknya, sentimen anti-Muslim berakar umbi dalam masyarakat kita,” kata penyelidik bersama kajian ini, Hansjörg Schmid dari Pusat Islam dan Komuniti Switzerland.
Sentimen ini dapat dilihat dalam pelbagai institusi, termasuk pendidikan, pekerjaan, polis, dan media negara itu.
Penyelidik kajian ini juga menganggarkan terdapat sejumlah besar kes yang tidak dilaporkan. Menurut kajian itu, daripada 2,471 orang Islam yang menerima diskriminasi, hanya seorang sahaja yang melaporkannya.
“Ramai mangsa kurang yakin untuk mendapatkan bantuan kerana takut kes mereka tidak diambil serius,” kata Marianne Helfer, ketua Suruhanjaya Persekutuan Menentang Perkauman yang membiaya kajian ini.
Penyelidik juga mencadangkan agar masalah ini ditangani dengan memperkukuh perkhidmatan bimbingan serta nasihat dan pemantauan badan kerajaan dan bukan kerajaan, bagi mengurangkan masalah kes yang tidak dilaporkan. Kesedaran dan pemahaman lebih baik juga harus diterapkan dalam masyarakat.
Pada tahun 2019, lebih daripada 35 peratus orang Islam di Switzerland menyatakan mereka pernah menjadi mangsa diskriminasi perkauman. Lebih daripada dua pertiga penduduk Switzerland mempunyai prasangka yang kuat terhadap Muslim, menurut laporan kajian itu.
Kajian Pusat Islam dan Komuniti Switzerland ini berdasarkan temu bual dengan pakar daripada agensi khas, pihak berkuasa, organisasi Muslim, dan ahli akademik. Selain itu, temu bual juga dilakukan dengan sebelas individu yang pernah mengalami insiden anti-Muslim. – The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login