Terkini
Ahli politik, fokus isu pemerkasaan sekolah kebangsaan jika mahu perjuangkan pendidikan – Pensyarah

- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata ahli politik yang hebat adalah mereka yang mengusahakan supaya guru-guru sekolah kebangsaan dilatih sehingga bertaraf global, beban tugas guru dikurangkan dan kurikulum kebangsaan dicontohi negara lain.
- Tidak menafikan bahawa sistem pendidikan paling ideal adalah satu aliran persekolahan, Dr Anuar bagaimanapun berkata ketika ini pendidikan pelbagai aliran tidak sepatutnya dipolemikkan lagi, sebaliknya ahli politik perlu bergerak ke hadapan dan membantu memperkasakan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.
- “Daripada sibuk mempertikaikan kewujudan sekolah pelbagai aliran yang telah pun diiktiraf mahkamah dan undang-undang negara, mengapa tidak anda sebagai ahli politik yang progresif berjuang habis-habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya?
- “Perjuangkan kualiti sekolah kebangsaan sehingga akhirnya sekolah kebangsaan menjadi rebutan ibu bapa pelbagai kaum. Bukankah sejarah menunjukkan apabila matrikulasi dan UiTM hebat, ibu bapa dari semua kaum mahu peluang diberikan untuk anak-anak mereka ke sana untuk belajar?,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
KUALA LUMPUR — Ahli politik yang benar-benar mahu memperjuangkan isu pendidikan diminta menumpukan usaha kepada pemerkasaan sekolah kebangsaan supaya kemudahannya setaraf sekolah antarabangsa.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata ahli politik yang hebat adalah mereka yang mengusahakan supaya guru-guru sekolah kebangsaan dilatih sehingga bertaraf global, beban tugas guru dikurangkan dan kurikulum kebangsaan dicontohi negara lain.
Tidak menafikan bahawa sistem pendidikan paling ideal adalah satu aliran persekolahan, Dr Anuar bagaimanapun berkata ketika ini pendidikan pelbagai aliran tidak sepatutnya dipolemikkan lagi, sebaliknya ahli politik perlu bergerak ke hadapan dan membantu memperkasakan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.
“Daripada sibuk mempertikaikan kewujudan sekolah pelbagai aliran yang telah pun diiktiraf mahkamah dan undang-undang negara, mengapa tidak anda sebagai ahli politik yang progresif berjuang habis-habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya?
“Perjuangkan kualiti sekolah kebangsaan sehingga akhirnya sekolah kebangsaan menjadi rebutan ibu bapa pelbagai kaum. Bukankah sejarah menunjukkan apabila matrikulasi dan UiTM hebat, ibu bapa dari semua kaum mahu peluang diberikan untuk anak-anak mereka ke sana untuk belajar?
“Nasihat saya, jika benar ada ahli politik yang mahu perjuangkan isu pendidikan, fokuskan usaha anda untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya kemudahan sekolah kebangsaan setaraf sekolah antarabangsa.
“… Cuba tanya diri anda sendiri, setelah lebih 70 tahun, sejak tahun 1950 isu sekolah vernakular ‘dijaja’ oleh ahli politik, adakah pendidikan anak-anak kita semakin baik? Apakah anak-anak kita sedang belajar dengan selesa di dalam kelas? Ada sistem pendidikan negara kita menjadi teladani pada negara lain?
“Kita kena bertanya, adakah prestasi pendidikan anak-anak kita sekarang sehebat anak-anak Singapura, Vietnam atau Korea Selatan? Yang dahulunya pada tahun 1960, mereka semua jauh ketinggalan di belakang negara kita. Hari ini, kita pula semakin jauh ketinggalan di belakang mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Anuar Ahmad
Dalam pada itu, beliau berkata sebagai timbal balik kewujudan sekolah pelbagai aliran, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) mesti turut menzahirkan jati diri dan identiti kebangsaan.
Katanya, pendidikan bahasa kebangsaan mestilah diperkukuhkan di semua sekolah jenis kebangsaan, manakala standard silibus dan penguasaan bahasa kebangsaan perlu selaras di semua sekolah kebangsaan, termasuk SJKC dan SJKT.
Beliau juga mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya bertegas memastikan semua anak-anak di SJKC dan SJKT menguasai bahasa kebangsaan sebaiknya dan sekiranya anak-anak terbabit gagal menguasainya, KPM perlu mengambil tanggungjawab dan mengakui kegagalan mereka.
Polemik berkenaan isu sekolah pelbagai aliran terus dibangkitkan pemimpin politik dengan terbaharu, EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali dilapor mencadangkan pihak-pihak yang membicarakan soal perpaduan negara dengan idea supaya sekolah vernakular dimansuhkan jika sejarah semua kaum diajar bermula di sekolah rendah.
Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang menegaskan pendidikan adalah tunjang pembangunan negara dan harus bebas daripada sebarang manipulasi politik serta isu pendidikan perlu ditangani dengan bijaksana, berlandaskan fakta, dan tidak dijadikan alat untuk memecahbelahkan rakyat. — The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login