Connect with us

Antarabangsa

Israel kecam Australia tidak iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya

Rejim Israel mengkritik keputusan Australia menarik balik pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya dengan mengemukakan aduan kepada Duta Australia, selain menyifatkan keputusan itu sebagai terburu-buru dan tidak profesional.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Israel kecam Australia tidak iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya
Foto: Menteri Luar Australia, Penny Wong dan Perdana Menteri Israel, Yair Lapid.
  • Rejim Israel anggap keputusan Australia menarik balik pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai terburu-buru dan tidak profesional.
  • Rujukan pengiktirafan yang dibuat kerajaan terdahulu bagi ibu negara Israel itu telah dipadamkan dalam talian, menyebabkan media mula melaporkan perkara itu pada Isnin.
  • Israel mendakwa keputusan kerajaan Australia ini hanya sebagai tindak balas terhadap laporan media yang dianggap ‘tidak benar’ itu.
  • Menteri Luar Australia, Penny Wong dilaporkan berkata kerajaan membatalkan keputusan kerajaan terdahulu mengiktiraf Baitulmaqdis Barat pada 2018 yang disifatkan sebagai muslihat sinis untuk memenangi sokongan pilihan raya.

Rejim Israel mengkritik keputusan Australia menarik balik pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya dengan mengemukakan aduan kepada Duta Australia, selain menyifatkan keputusan itu sebagai terburu-buru dan tidak profesional.

ABC News melaporkan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia telah memadamkan rujukan pengiktirafan itu dalam talian, walaupun Kabinet hanya membuat keputusan rasmi mengenai isu itu pada pagi Selasa.

Beberapa media melaporkan tentang perubahan itu pada malam Isnin, memaksa kerajaan persekutuan untuk menjelaskan masih belum ada keputusan rasmi dibuat mengenainya.

Perdana Menteri Israel, Yair Lapid, mengecam tindakan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“Memandangkan keputusan ini dibuat sebagai tindakan terburu-buru terhadap laporan yang tidak betul di media, kami hanya boleh berharap kerajaan Australia menguruskan perkara lain dengan lebih serius dan profesional,” katanya.

“Baitulmaqdis adalah ibu kota Israel yang kekal dan bersatu, tiada apa yang akan mengubahnya” kata Yair Lapid.

Semalam, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata kerajaan membatalkan keputusan kerajaan terdahulu mengiktiraf Baitulmaqdis Barat yang disifatkan sebagai muslihat sinis untuk memenangi sokongan pilihan raya.

Wong berkata Australia kekal sebagai rakan setia Israel dan penyokong teguh rakyat Palestin.

“Hari ini, kerajaan menegaskan semula pendirian Australia sebelum ini bahawa Baitulmaqdis adalah isu status terakhir yang harus diselesaikan sebagai sebahagian daripada rundingan damai antara Israel dan rakyat Palestin,” katanya.

Wong berkata kedutaan Australia sentiasa berada dan kekal di Tel Aviv.

Kerajaan Perdana Menteri, Scott Morrison sebelum ini mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 2018.

Ia berikutan keputusan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. 

Wong mendakwa Morrison bermain politik atas keputusan itu.

Sumber: ABC Net

Author