Terkini
Banjir pada hari pengundian, SPR ada kuasa tangguh PRU15
- Ia berdasarkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
- Kuasa itu boleh diputuskan SPR sekiranya berlaku bencana seperti banjir yang menyukarkan proses pengundian berlangsung.
- “Kalau contohnya pusat mengundi dinaiki air…SPR punya kuasa tangguh pengundian atau batalkan hari pengundian di kawasan itu.
- “Sekiranya cukup bukti menunjukkan proses pengundian tidak boleh diteruskan, ia boleh ditangguhkan berdasarkan tatacara,” – Bekas Timbalan Pengerusi SPR.
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika berlakunya situasi bencana berdasarkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kuasa itu boleh diputuskan SPR sekiranya berlaku bencana seperti banjir yang menyukarkan proses pengundian berlangsung.
“Kalau contohnya pusat mengundi dinaiki air…SPR mempunyai kuasa untuk menangguh pengundian atau membatalkan hari pengundian di kawasan itu.
“Contohnya pusat mengundi itu dinaiki air, ia perlu dilaporkan kepada pegawai pengurus pilihan raya.
“Sekiranya cukup bukti menunjukkan proses pengundian memang tidak boleh diteruskan, ia boleh ditangguhkan berdasarkan tatacara,” katanya kepada BH, di sini.
Berdasarkan semakan di laman web SPR, peraturan itu menjelaskan jika pada bila-bila masa selepas suatu pilihan raya dimulakan, SPR dimaklumkan dengan memuaskan hatinya bahawa pengundian tidak dapat dijalankan atau sudah dijalankan tetapi tidak dapat diselesaikan di mana-mana tempat mengundi pada tarikh yang ditentukan di bawah sub peraturan 11 (5) kerana apa-apa sebab juapun; Bahawa SPR hendaklah melalui notis yang disiarkan dalam kawasan tempatan yang baginya tempat mengundi itu ditetapkan, menggantung pengundian itu dan menetapkan tarikh baharu bagi pengundian itu dijalankan atau diselesaikan mengikut apa-apa cara sebagaimana diarahkan suruhanjaya terbabit.
Bagi maksud subperaturan (5) peraturan itu pula, tarikh baharu bagi pengundian ertinya hari mengundi awal yang baharu atau hari mengundi yang baharu mengikut mana-mana yang berkenaan.
Pada masa sama, berkata, SPR mempunyai persediaan rapi bagi sebarang keadaan termasuk sudah memberikan latihan yang mencukupi kepada petugas.
“Setiap petugas ada tatacara dan kerja yang diberi latihan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing serta berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.
Wan Ahmad berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang pada 2011 membuktikan SPR boleh menjalankan tugas dengan baik meskipun pilihan raya ketika itu berlaku pada waktu banjir.
Beliau berkata, ketika itu bantuan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tentera membabitkan membawa kertas undi dan pengundi menggunakan bot serta trak ke pusat mengundi.
“Semasa PRK Tenang kita teruskan namun ada keputusan yang lewat diumumkan kerana ia tidak boleh diisytiharkan malam itu kerana ada pusat mengundi dilanda banjir,” katanya.
Sumber: Harian Metro