Terkini
KPM pertimbang cadangan SPM bukan pada musim tengkujuh
- “Kita akan pertimbang cadangan ini kerana ia antara cadangan yang kita turut terima. Barangkali kita boleh lihat kerana ketika ini jadual SPM pada hujung tahun dan berdepan banjir.
- “Perkara itu kita ambil kira dan kita akan perhalusi dari semasa ke semasa kerana ia melihatkan aspek prihatin daripada masyarakat,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipetik media tempatan pada sidang media selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Kelantan hari ini.
- Semua calon SPM terjejas akibat banjir berjaya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula hari ini, selepas operasi memindahkan mereka selesai sepenuhnya semalam.
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan (KPM) pertimbangkan cadangan supaya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilakukan di luar musim tengkujuh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkara itu akan dibincangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa.
“Kita akan pertimbang cadangan ini kerana ia antara cadangan yang kita turut terima. Barangkali kita boleh lihat kerana ketika ini jadual SPM pada hujung tahun dan berdepan banjir.
“Perkara itu kita ambil kira dan kita akan perhalusi dari semasa ke semasa kerana ia melihatkan aspek prihatin daripada masyarakat,” katanya dipetik media tempatan pada sidang media selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Semalam, media melaporkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 di semua negeri terjejas banjir, termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah akan diteruskan seperti dijadualkan bermula hari ini hingga Khamis.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari depan.
Seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).
Fadhlina dilaporkan berkata semua calon terjejas banjir akan ditempatkan di asrama atau digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif, bagi memastikan kesemua calon dapat keselesaan untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, KPM hari ini memaklumkan semua calon SPM yang terjejas akibat banjir berjaya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula hari ini, selepas operasi memindahkan mereka selesai sepenuhnya semalam.
Fadhlina berkata semua calon, termasuk yang terperangkap diselamatkan pelbagai agensi tanpa ada yang tercicir dan mereka kini ditempatkan di asrama dengan diberi kemudahan terbaik termasuk disediakan buku, internet dan komputer. — The Merdeka Times