Hartanah
Berjaya Hartanah lancar projek perumahan mewah, OAKA Residences di Bukit Jalil dengan nilai GDV RM373 Juta
- Berjaya Hartanah Bhd, anak syarikat milik penuh Berjaya Land Berhad melancarkan OAKA Residences, sebuah projek pembangunan kediaman mewah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM373 juta.
- Pengarah Eksekutif Berjaya Land Bhd, Tan Tee Ming, berkata pihaknya menjangkakan sepertiga daripada pembangunan ini akan terjual dalam tempoh enam bulan.
- Pembangunan pegangan bebas ini merangkumi kawasan seluas 2.2 ekar, menawarkan 350 unit rumah yang dibina buat keluarga moden.Setiap unit dilengkapi dengan balkoni peribadi, dengan saiz dari 882 kaki persegi (dua bilik tidur) hingga 1,509 kaki persegi (tiga bilik tidur), dengan harga bermula dari RM880 bagi setiap kaki persegi. Setiap unit turut disediakan dua hingga tiga tempat letak kereta.
KUALA LUMPUR — Berjaya Hartanah Bhd, anak syarikat milik penuh Berjaya Land Berhad melancarkan OAKA Residences, sebuah projek pembangunan kediaman mewah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM373 juta.
Pengarah Eksekutif Berjaya Land Bhd, Tan Tee Ming, berkata pihaknya menjangkakan sepertiga daripada pembangunan ini akan terjual dalam tempoh enam bulan.
“Kami sudah menerima beberapa tempahan setakat ini. Dan 10% daripada pembeli kami sebelum ini dijangka akan membeli dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Jumaat lalu.
Keyakinan ini didorong oleh lokasi di Bukit Jalil yang sangat diminati oleh rakyat Malaysia kerana kedudukannya yang strategik berdekatan dengan pusat bandar Kuala Lumpur serta menggabungkan aksesibiliti bandar dan ketenangan alam semula jadi.
“Bukit Jalil adalah kawasan kejiranan yang pesat membangun, dan dengan OAKA Residences, penghuni dapat menikmati kemudahan bertaraf tinggi, institusi pendidikan yang terkenal serta fasiliti kesihatan. Kami amat teruja untuk memperkenalkan OAKA Residences sebagai sebuah penempatan bandar yang dinamik dan mudah diakses di Bukit Jalil,” kata Tan.
Tambah Tan, Berjaya telah membangunkan hartanah di Bukit Jalil selama lebih 20 tahun.
Beliau berkata, hartanah di kawasan ini, termasuk projek Berjaya terdahulu, telah mengalami peningkatan nilai yang ketara dari masa ke masa.
“Pembeli bukan sahaja menikmati ruang kediaman yang berkualiti, malah turut memperoleh manfaat kewangan kerana pelaburan hartanah mereka di sini biasanya akan meningkat nilainya,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Bhd, Syed Ali Shahul Hameed berkata OAKA Residences mewakili satu lagi pencapaian penting sebagai projek pembangunan ke-15 mereka di Bukit Jalil.
Pembangunan pegangan bebas ini merangkumi kawasan seluas 2.2 ekar, menawarkan 350 unit rumah yang dibina buat keluarga moden.
Setiap unit dilengkapi dengan balkoni peribadi, dengan saiz dari 882 kaki persegi (dua bilik tidur) hingga 1,509 kaki persegi (tiga bilik tidur), dengan harga bermula dari RM880 bagi setiap kaki persegi. Setiap unit turut disediakan dua hingga tiga tempat letak kereta.
Kemudahan utama termasuk kolam infiniti, taman permainan kanak-kanak, dan gelanggang bola keranjang.
OAKA Residences juga memiliki akses mudah ke pusat membeli-belah, makan, dan rekreasi, termasuk Pavilion Bukit Jalil Mall, Tropika Commercial Retail, dan Bukit Jalil Golf and Country Resort selain berhampiran institusi pendidikan seperti Universiti Perubatan Antarabangsa dan Universiti Asia Pasifik Teknologi & Inovasi.
Tambahan pula, Hospital Columbia Asia terletak dalam radius 1 km, memberikan kemudahan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada penghuni, sekaligus meningkatkan daya tarikan lokasi utama OAKA Residences yang juga disambungkan dengan lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Maju, dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban. Pengangkutan awam juga mudah diakses dengan tiga stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dalam jarak radius 3 km.
OAKA Residences kini dibuka untuk lawatan bakal pemilik rumah. -The Merdeka Times