Terkini
Buli UPNM: Pasang CCTV hanya penyelesaian sementara
- Cadangan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengekang gejala buli dilihat sebagai penyelesaian bersifat sementara kerana ia hanya menangani isu itu di ‘permukaan’ dan bukan menangani punca sebenar.
- Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Ling Jin Shean berkata pihak UPNM tidak boleh bergantung semata-mata kepada teknologi untuk menghapuskan gejala buli, kerana ia masih boleh berlaku di kawasan bukan di bawah pemantauan CCTV seperti tandas atau bilik tidur ataupun di luar kampus.
- “Masalah buli adalah isu yang mendalam, dan berkaitan rapat dengan budaya, psikologi dan ketidaksembangan (ketidakseimbangan) kuasa.
- “Selagi isu-isu ini tidak ditangani, gejala buli akan terus berleluasa walaupun dengan pemasangan CCTV. Oleh itu, langkah yang lebih menyeluruh dan berkesan harus diambil, dan bukannya sekadar mencari penyelesaian mudah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang MCA pada Khamis lalu.
KUALA LUMPUR — Cadangan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengekang gejala buli dilihat sebagai penyelesaian bersifat sementara kerana ia hanya menangani isu itu di ‘permukaan’ dan bukan menangani punca sebenar.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Ling Jin Shean berkata UPNM tidak boleh bergantung semata-mata kepada teknologi untuk menghapuskan gejala buli kerana ia masih boleh berlaku di kawasan bukan di bawah pemantauan CCTV seperti tandas atau bilik tidur ataupun di luar kampus.
Jin Shean berkata cadangan itu juga membangkitkan kebimbangan mengenai hak privasi dan bakal menimbulkan perasaan tidak senang hati dalam kalangan pelajar UPNM.
“Masalah buli adalah isu yang mendalam, dan berkaitan rapat dengan budaya, psikologi dan ketidaksembangan (ketidakseimbangan) kuasa.
“Selagi isu-isu ini tidak ditangani, gejala buli akan terus berleluasa walaupun dengan pemasangan CCTV. Oleh itu, langkah yang lebih menyeluruh dan berkesan harus diambil, dan bukannya sekadar mencari penyelesaian mudah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang MCA pada Khamis lalu.
Pada Selasa minggu lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan melaksanakan beberapa langkah drastik bagi mencegah berlaku kes buli di ALK, UPNM dengan mengasingkan pelajar Tahun 1 dengan pelajar senior.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengasingan itu membabitkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan serta pengasingan ‘roll call’ antara pelajar senior dan junior.
Selain itu, kementerian akan memasang lebih banyak CCTV di blok penginapan dan kawasan lain yang dirasakan perlu.
Insiden buli di ALK kembali menjadi perhatian selepas dua kes dilaporkan membabitkan seorang pelajar junior ditekap dengan seterika wap panas, manakala seorang lagi cedera parah di rusuk dan belakang selepas dipijak seorang senior.
Mengulas lanjut, Jin Shean yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pusat Pengajian Politik Pemuda MCA mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan pihak berwajib untuk menangani gejala buli khususnya di UPNM.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah meningkatkan sokongan psikologi dan kaunseling di mana pakar kaunseling boleh ditempatkan di semua peringkat sekolah, dari sekolah rendah hingga pendidikan tinggi untuk menyediakan bantuan psikologi yang menyeluruh bagi membantu pelajar mengatasi tekanan atau masalah peribadi.
Katanya, perkhidmatan itu juga boleh berfungsi sebagai saluran selamat dan mudah untuk pelajar melaporkan sebarang insiden buli atau isu peribadi mengganggu mereka.
“Pendidikan dan kesedaran mengenai bahayanya buli harus diadakan secara berterusan dan tumpuan diberi kepada pemupukan budaya empati dan tanggungjawab di kalangan pelajar. Kesedaran mengenai akibat membuli dan bagaimana ia menjejaskan hidup mereka juga boleh diterapkan.
“Sebarang tindakan membuli tidak boleh diterima dan hukuman setimpal harus dikenakan ke atas pesalah laku.
“Namun begitu, siasatan yang telus harus dijalankan terlebih dahulu, dengan proses terbuka, supaya menjadi peringatan kepada semua pelajar bahawa isu ini adalah perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan,” kata Jin Shean. — The Merdeka Times