Antarabangsa
Hamas, kumpulan pejuang Palestin tekad gagalkan penjajahan Tebing Barat
KUALA LUMPUR – Hamas menegaskan komitmen bersama kumpulan-kumpulan pejuang Palestin yang lain untuk menentang segala usaha rejim zionis Israel untuk memperluaskan penjajahan ke atas Tebing Barat susulan kenyataan terkini Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich.
Hamas dalam kenyataan media dipetik Telegram Dunia Palestin pada Selasa menekankan pergerakan itu bersama seluruh rakyat Palestin tidak akan membiarkan tindakan Israel yang disifatkan sebagai penjajahan sistematik ke atas wilayah Palestin.
Hamas menyatakan pendirian tegas untuk menghalang segala rancangan yang cuba dijalankan Smotrich dan kerajaan haram Israel, sambil menegaskan tindakan sedemikian tidak akan mengubah hakikat sejarah dan undang-undang bahawa Tebing Barat merupakan hak milik sah Palestin.
“Kami dan semua kumpulan pejuang Palestin akan terus berjuang untuk memastikan penjajahan ini tidak berlaku. Kami tidak akan membiarkan sebarang agenda jahat dilaksanakan di bumi Palestin,” kata kenyataan Hamas, menegaskan Tebing Barat adalah sebahagian dari negara Palestin.
Hamas turut menyeru Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera bertindak menghentikan rancangan Israel yang dikatakan mencabar undang-undang antarabangsa.
Tindakan Israel itu hanya akan menambah ketegangan di peringkat serantau dan global, kata Hamas. – The Merdeka Times
Dapatkan perkembangan terkini di Palestin secara pantas dan eksklusif dengan sertai telegram Dunia Palestin: t.me/duniapalestin