Terkini
Pakar sejarah, tokoh akademik Zainal Kling meninggal dunia
- Pakar sejarah dan tokoh akademik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling meninggal dunia pada 4.30 pagi tadi di Hospital Shah Alam, pada usia 80 tahun.
- Bekas Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM dan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Malaya (UM) itu menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
- “(Allahyarham dirawat) Tiga hari di Hospital Shah Alam. Beliau dibawa ke sana selepas kesihatannya merudum akibat komplikasi diabetik. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas Zuhur, hari ini,” kata anak Allahyarham, Reza Safri Zainal ketika dihubungi.
KUALA LUMPUR — Pakar sejarah dan tokoh akademik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling meninggal dunia pada 4.30 pagi tadi di Hospital Shah Alam, pada usia 80 tahun.
Bekas Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Malaya (UM) itu menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Anak Allahyarham, Reza Safri Zainal berkata jenazah bapanya sedang diuruskan di Surau Seksyen 3, Shah Alam bagi urusan pengebumian.
“(Allahyarham dirawat) Tiga hari di Hospital Shah Alam. Beliau dibawa ke sana selepas kesihatannya merudum akibat komplikasi diabetik. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas Zuhur, hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Karier Allahyarham bermula dengan menjadi tenaga pengajar di UM pada tahun 1967 sebelum dilantik menjadi Pembantu Pensyarah pada Feb 1974.
Allahyarham dianugerahkan gelaran Prof Madya dari Dis 1977 hingga 1992 dan dilantik sebagai Profesor penuh pada 1992.
Sepanjang hayatnya selain pernah menjadi Timbalan Naib Canselor UM, Allahyarham turut pernah memegang beberapa jawatan lain seperti Pengarah Pusat Kajian Integrasi Nasional Malaysia UPSI, Pemegang Kursi Majlis Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ketua Kluster Sejarah, Majlis Profesor Negara (MPN).
Selain itu, Allahyarham merupakan penyandang jawatan Timbalan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) ketika ini. — BERNAMA