Terkini
Johor negeri pertama tawar gaji premium RM4,000 buat pekerja berkemahiran tinggi – TPM
- Penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bakal menjadikan Johor negeri pertama di negara ini yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- “Kita melihat peluang pekerjaan yang ada di Johor umpamanya menghadapi persaingan dari negara jiran. Ini kerana gaji minimum ditetapkan kerajaan adalah RM1,700 berkuatkuasa Februari depan, namun gaji minimum di Singapura pula adalah $1,500 yang bersamaan dengan RM5,290. Oleh itu, adalah penting untuk Johor memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak mengalir keluar,” katanya.
- Ahmad Zahid memaklumkan bahawa penubuhan majlis itu bakal bertindak sebagai hab sehenti yang menghubungkan institusi TVET, industri dan pencari kerja susulan penawaran sebanyak 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal wujud di negeri ini.
JOHOR BAHRU — Penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bakal menjadikan Johor negeri pertama di negara ini yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid memaklumkan bahawa penubuhan majlis itu bakal bertindak sebagai hab sehenti yang menghubungkan institusi TVET, industri dan pencari kerja susulan penawaran sebanyak 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal wujud di negeri ini.
“Kita melihat peluang pekerjaan yang ada di Johor umpamanya menghadapi persaingan dari negara jiran. Ini kerana gaji minimum ditetapkan kerajaan adalah RM1,700 berkuatkuasa Februari depan, namun gaji minimum di Singapura pula adalah $1,500 yang bersamaan dengan RM5,290. Oleh itu, adalah penting untuk Johor memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak mengalir keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Johor adalah negeri pertama wujudkan JTDC bagi membantu anak-anak muda di negeri ini dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Apa yang dilakukan Johor ini adalah untuk menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000, manakala gaji premium ijazah sarjana muda bermula RM5,000. Tidak ada negeri lain melakukannya (gaji premium) setakat ini hanya Johor sahaja yang berada di hadapan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan kerajaan Johor susulan kewujudan beberapa zon ekonomi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi.
Katanya, JS-SEZ pada waktu ini memerlukan seramai 74,000 pekerja berkemahiran tinggi, namun hanya 52,000 permohonan kerja dibuat setakat ini.
“Oleh itu, JTDC ini menjadi sokongan utama kepada penghasilan lebih ramai tenaga kerja kemahiran tinggi yang diperlukan pasaran terutama lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pendidikan TVET.
“Kita ada 1,345 institusi TVET di seluruh negara dan di Johor sahaja ada lebih 220 institusi TVET bagi memenuhi permintaan 100,000 peluang pekerjaan di Johor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) supaya menyalurkan peruntukan RM20 juta kepada institusi TVET di negeri ini.
“Ia bagi memastikan Johor dapat membekalkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negeri dan negara terus mampan,” katanya. – The Merdeka Times