Terkini
Insiden kibar bendera China, Persatuan Guan Gong mohon maaf
- Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia hari ini memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh satu daripada rombongan berkenaan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan semalam.
- Pengerusinya, Soon Boon Hua menerusi laman Facebook persatuan berkenaan berkata tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.
- Sambutan Guan Gong Sedunia diraikan sejak bertahun lalu dan dianjurkan di beberapa negeri dari Johor ke Pulau Pinang, dengan Perak merupakan antara negeri terlibat.
- Dalam setiap program sambutan di pelbagai negeri, Jalur Gemilang akan dikibar sebagai simbol patriotisme dan perarakan sambutan di Teluk Intan juga tidak terkecuali.
IPOH — Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia hari ini memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh satu daripada rombongan berkenaan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan semalam.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia, Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.
“Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden terbabit dan akan meneliti segala aspek yang perlu dibaiki demi menjayakan program itu,” katanya menerusi laman Facebook persatuan berkenaan hari ini.
Beliau berkata sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang telah diraikan sejak bertahun yang lepas dan dianjurkan di beberapa negeri dari Johor ke Pulau Pinang, dengan Perak merupakan antara negeri yang terlibat.
Soon berkata dalam setiap program sambutan di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme dan perarakan sambutan di Teluk Intan juga tidak terkecuali.
Sejak semalam, tular di media sosial video sekumpulan peserta mengibarkan bendera China pada sambutan pesta terbabit. — BERNAMA