Terkini
Najib mohon maaf kecurangan dalam 1MDB
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengakui terluka dengan kecurangan berlaku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan yang berlaku dalam 1MDB ketika berada di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sebelum ini.
- Katanya, sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara selama 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan yang signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat pernyataan itu.
- “Saya sebagai (bekas) Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
- Mahkamah Tinggi pada 3 Oktober lalu dilaporkan menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh untuk keputusan sama ada bekas presiden UMNO itu perlu membela diri atau dibebaskan daripada empat pertuduhan menyalah guna kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.
KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengakui terluka dengan kecurangan berlaku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib, 71, mengakui beliau amat terluka setelah mengetahui segala kecurangan yang berlaku dalam 1MDB ketika berada di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sebelum ini.
Katanya, sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara selama 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan yang signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat pernyataan itu.
“Saya sebagai (bekas) Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi pada 3 Oktober lalu dilaporkan menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh untuk keputusan sama ada bekas presiden UMNO itu perlu membela diri atau dibebaskan daripada empat pertuduhan menyalah guna kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.
Tarikh itu ditetapkan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, selepas selesai mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan melalui prosiding berlangsung selama 12 hari yang dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada enam tahun selepas mendapat pengampunan kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International (SRC).
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, apabila berlaku kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku dalam 1MDB, beliau sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza.
“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.
“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada usaha memulihkan kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat tertinggi.
“Saya telah pun dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada segala penyelewengan dalaman 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersubahat dengan Jho Low, justeru saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang.
“Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB,” katanya yang meluahkan rasa kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB. — The Merdeka Times