Terkini
Satu lagi kes doktor mati disyaki dibuli
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.
- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata siasatan dalaman bagi kes terbabit dibuat sejurus pihaknya menerima aduan mengenainya.
- Semalam, The Star melaporkan pegawai perubatan di jabatan pediatrik sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang, Dr Ch’ng Hooi Ping, 31, ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta tempat kerjanya pada 27 Jun lalu akibat cecair di dalam paru-parunya.
KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata siasatan dalaman bagi kes terbabit dibuat sejurus pihaknya menerima aduan mengenainya.
“Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.
“Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan,” katanya dipetik media tempatan di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung dakwaan KKM lewat mengambil tindakan untuk membendung gejala buli dalam kalangan petugas kesihatan sehingga mengakibatkan ia kerap berulang.
Semalam, The Star melaporkan pegawai perubatan di jabatan pediatrik sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang, Dr Ch’ng Hooi Ping, 31, ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta tempat kerjanya pada 27 Jun lalu akibat cecair di dalam paru-parunya.
Menurut kakaknya, yang dikenali sebagai “Dr K”, keluarga itu percaya bahawa kematian doktor wanita terbabit berpunca akibat kerja berlebihan dan keletihan akibat kurang rehat.
Sebelum ini media turut melaporkan seorang doktor pakar di sebuah hospital di Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu pada 29 Ogos, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja. — The Merdeka Times