Terkini
Anwar kata serbuan jam tangan berunsur LGBT keterlaluan, Fadhli sedia tarik balik pujian
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sarkastik `memohon maaf’ kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Kerajaan Malaysia ekoran pernah mengucapkan tahniah di Dewan Rakyat pada Jun 2023 kerana merampas jam tangan yang mempunyai unsur-unsur mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
- Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sarkastik `memohon maaf’ kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Kerajaan Malaysia ekoran pernah mengucapkan tahniah di Dewan Rakyat pada Jun 2023 kerana merampas jam tangan yang mempunyai unsur-unsur mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
- Rampasan itu turut disahkan Saifuddin Nasution bahawa ia dilakukan kerana ada unsur-unsur mempromosikan budaya songsang yang dilarang agama dan undang-undang negara ini.
- Bagaimanapun, Fadhli berkata beliau terpaksa memohon maaf kerana `tersalah’ mengucapkan tahniah itu ekoran pendirian terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau tidak bersetuju dengan rampasan itu ketika diwawancara wartawan terkenal British- Amerika, Mehdi Hasan baru-baru ini.
- “Jadi, jika seorang Perdana Menteri tidak setuju dengan tindakan agensi di bawah kerajaan, tindakan itu tidak ada merit lagi dari sudut punca kuasa.
- “Saya mohon maaf sekali lagi kerana mengucapkan tahniah atas rampasan itu. Jika perlu, saya sedia menarik balik ucapan tahniah itu di dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin yang turut berkongsikan pautan ke klip video Youtube bertajuk, ‘Anwar: Tindakan KDN rampas ‘jam tangan LGBT’ keterlaluan’.
KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sarkastik `memohon maaf’ kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Kerajaan Malaysia ekoran pernah mengucapkan tahniah di Dewan Rakyat pada Jun 2023 kerana merampas jam tangan yang mempunyai unsur-unsur mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata rampasan itu turut disahkan Saifuddin Nasution bahawa ia dilakukan kerana ada unsur-unsur mempromosikan budaya songsang yang dilarang agama dan undang-undang negara ini.
Bagaimanapun, Fadhli berkata beliau terpaksa memohon maaf kerana `tersalah’ mengucapkan tahniah itu ekoran pendirian terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan beliau tidak bersetuju dengan rampasan itu ketika diwawancara wartawan terkenal British- Amerika, Mehdi Hasan baru-baru ini.
“Jadi, jika seorang Perdana Menteri tidak setuju dengan tindakan agensi di bawah kerajaan, tindakan itu tidak ada merit lagi dari sudut punca kuasa.
“Saya mohon maaf sekali lagi kerana mengucapkan tahniah atas rampasan itu. Jika perlu, saya sedia menarik balik ucapan tahniah itu di dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin yang turut berkongsikan pautan ke klip video Youtube bertajuk, ‘Anwar: Tindakan KDN rampas ‘jam tangan LGBT’ keterlaluan’.
Antara petikan klip video berdurasi 55 saat itu adalah Mehdi bertanyakan kepada Anwar mengapa kerajaan menyerbu kedai Swatch pada tahun lalu dan merampas jam tangan bertemakan ‘rainbow pride’ sekiranya menyemak dan meminda undang-undang anti LGBTQ bukan keutamaan tampuk pemerintahan beliau.
“Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu. Kami telah beritahu mereka. Tidak ada arahan. Ia keputusan yang diambil oleh jabatan tertentu dan bagi saya tindakan mereka itu keterlaluan,” kata Anwar dipetik berkata demikian dalam wawancara berbahasa Inggeris itu.
Pada Mei 2023, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi, yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.
KDN pada Ogos tahun sama, mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan dengan perihalan “Apa-apa penerbitan berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Queer, and + Plus (LGBTQ+) dalam apa-apa bentuk yang terdapat pada jam Swatch dalam apa-apa koleksi termasuk kotak, pembalut, aksesori atau apa-apa benda lain yang berkaitan”.
Perintah Larangan itu dikeluarkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 236 bertarikh 10 Ogos 2023 kerana hasil penerbitan terbabit memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan negara. — The Merdeka Times