Antarabangsa
Lelaki Muslim dihukum mati di Missouri walaupun dibantah keluarga mangsa, juri dan pendakwa
Missouri (negeri di Amerika Syarikat) tetap melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki pada Selasa walaupun adanya bantahan pendakwa raya yang berusaha untuk membatalkan sabitan dan menyokong tuntutan tidak bersalahnya.
- Missouri (negeri di Amerika Syarikat) tetap melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki pada Selasa walaupun adanya bantahan pendakwa raya yang berusaha untuk membatalkan sabitan dan menyokong tuntutan tidak bersalahnya.
- Marcellus “Khaliifah” Williams, 55, dihukum mati dengan suntikan maut, menamatkan ‘pertempuran undang-undang’ yang mencetuskan kemarahan meluas apabila pejabat yang pada asalnya mendakwa kes itu juga mencadangkan sabitan itu salah.
- Dalam langkah luar biasa yang dikecam aktivis hak asasi manusia dan ahli politik di seluruh Amerika Syarikat, peguam negara parti Republikan Missouri, Andrew Bailey meneruskan pelaksanaan hukuman mati walaupun mendapat tentangan daripada pejabat pendakwa raya St. Louis County.
- Williams disabitkan atas pembunuhan seorang pekerja sosial dan bekas wartawan St. Louis Post-Dispatch, Lisha Gayle pada 1998. Dia dituduh memecah masuk rumah Gayle, menikamnya hingga mati dan mencuri beberapa barang miliknya.
- Namun, tiada bukti forensik yang mengaitkan Williams dengan senjata pembunuhan atau tempat kejadian dan apabila pendakwa tempatan menafikan sabitannya, keluarga mangsa dan beberapa juri perbicaraan juga menyatakan mereka menentang pelaksanaan hukuman mati ke atasnya.
- Williams dilihat berbicara dengan penasihatnya di sisi pada saat-saat akhirnya dan dalam “kenyataan (bertulis) terakhir” yang dikeluarkan pihak penjara, dia cuma menulis: “Segala Puji Bagi Allah dalam Setiap Keadaan!!!”
Missouri (negeri di Amerika Syarikat) tetap melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki pada Selasa walaupun adanya bantahan pendakwa raya yang berusaha untuk membatalkan sabitan dan menyokong tuntutan tidak bersalahnya.
Marcellus “Khaliifah” Williams, 55, dihukum mati dengan suntikan maut, menamatkan ‘pertempuran undang-undang’ yang mencetuskan kemarahan meluas apabila pejabat yang pada asalnya mendakwa kes itu juga mencadangkan sabitan itu salah.
Dalam langkah luar biasa yang dikecam aktivis hak asasi manusia dan ahli politik di seluruh Amerika Syarikat, peguam negara parti Republikan Missouri, Andrew Bailey meneruskan pelaksanaan hukuman mati walaupun mendapat tentangan daripada pejabat pendakwa raya St. Louis County.
Williams disabitkan atas pembunuhan seorang pekerja sosial dan bekas wartawan St. Louis Post-Dispatch, Lisha Gayle pada 1998. Dia dituduh memecah masuk rumah Gayle, menikamnya hingga mati dan mencuri beberapa barang miliknya.
Namun, tiada bukti forensik yang mengaitkan Williams dengan senjata pembunuhan atau tempat kejadian dan apabila pendakwa tempatan menafikan sabitannya, keluarga mangsa dan beberapa juri perbicaraan juga menyatakan mereka menentang pelaksanaan hukuman mati ke atasnya.
“Kita semua perlu mempersoalkan mana-mana sistem yang membenarkan perkara ini berlaku. Hukuman mati terhadap orang yang tidak bersalah adalah manifestasi paling ekstrem terhadap obsesi Missouri untuk menemukan ‘pengakhiran’ berbanding kebenaran, keadilan dan kemanusiaan, tanpa mengira apa pun kosnya,” kata peguam Williams, Tricia Rojo Bushnell dalam kenyataan sebelum hukuman mati itu dilaksanakan, dipetik The Guardian.
“Malam ini, kita semua menyaksikan penyalahgunaan mengerikan kuasa negeri oleh Missouri. Janganlah ia berlaku dengan sia-sia. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, dan kita tidak boleh membiarkannya berterusan”.
Anak lelaki Williams dan dua peguamnya menyaksikan pelaksanaan hukuman mati itu dari bilik lain, lapor AP.
Williams dilihat berbicara dengan penasihatnya di sisi pada saat-saat akhirnya dan dalam “kenyataan (bertulis) terakhir” yang dikeluarkan pihak penjara, dia cuma menulis: “Segala Puji Bagi Allah dalam Setiap Keadaan!!!”
Williams yang berkhidmat sebagai imam di penjaranya telah dua kali ditangguhkan pelaksanaan hukuman mati pada saat-saat akhir. Dia hampir dihukum mati pada Januari 2015 apabila Mahkamah Agung Missouri memberikan lebih banyak masa kepada peguamnya untuk ujian DNA.
Pada Ogos 2017, gabenor Republikan pada masa itu, Eric Greitens memberikan penangguhan beberapa jam sebelum pelaksanaan dijadualkan, kerana ujian DNA pada pisau menunjukkan tiada kesan DNA Williams.
Greitens turut menubuhkan panel untuk menyemak semula kes itu tetapi apabila Mike Parson, gabenor Republikan ketika ini mengambil alih, dia telah membubarkan panel itu dan mendesak hukuman mati diteruskan. – The Merdeka Times