Connect with us

Terkini

Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) & Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan).
  • Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  • “Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam daerah Gombak, Selangor seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.
  • “Patik menyedari kata-kata patik menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.
  • “Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini,” katanya dipetik media tempatan ketika membacakan permohonan maaf itu pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
  • Pada Februari lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.
  • Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan maaf kali pertama itu berkaitan kenyataannya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara di Gombak, Selangor yang didakwa menghina baginda.

“Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam daerah Gombak, Selangor seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.

“Patik menyedari kata-kata patik menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.

“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini,” katanya dipetik media tempatan ketika membacakan permohonan maaf itu pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau menyedari bahawa tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti yang telah diperkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

Beliau berkata pihaknya juga dengan penuh rasa insaf dan rendah diri memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor, termasuk Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya itu.

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja. Sekian, menjunjung kasih Tuanku. Patik pacal yang hina,” katanya.

Pada Februari lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *