Connect with us

Terkini

PAS gesa penyelewengan GISBH dibanteras hingga ke akar umbi

PAS menggesa penyelewengan dilakukan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dibanteras hingga ke akar umbi supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
  • Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata jika ia tidak dilakukan negara ini akan berdepan dengan drama dan modus operandi sama beberapa tahun lagi.
  • “Ini bukanlah kali pertama… Kita telah menyaksikan episod yang melibatkan Darul Arqam beberapa puluh tahun yang lalu, diikuti dengan Pertubuhan Rufaqa’ yang membawa modus operandi yang sama.
  • “Kini, ia berulang lagi dengan GIHB (GISBH). Cerita mengenai Yaqazah dan Pemuda Bani Tamim juga muncul, diakhiri dengan persediaan menunggu kedatangan Imam Mahdi.
  • “…Mengapa agensi pihak berkuasa agama terlepas daripada memantau gerakan ini begitu lama? Mengapa mereka berjaya mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh, termasuk Perdana Menteri?
  • “Secara logiknya, Perdana Menteri tidak mungkin mengetahui secara terperinci mengenai tetamu-tetamu yang berjumpa dengannya; inilah tugas pegawai yang berada di sekeliling pemimpin-pemimpin, termasuk agensi agama yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat sejak lama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
  • Siasatan PDRM mendapati ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.
  • Ia susulan penemuan risalah dan buku-buku di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan bulan ini.

KUALA LUMPUR —- PAS menggesa penyelewengan dilakukan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dibanteras hingga ke akar umbi supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata proses pemulihan juga hendaklah dilaksanakan sehingga ke peringkat menyediakan peluang hidup kedua untuk generasi baru yang sudah dibentuk sejak lahir oleh gerakan itu.

Beliau berkata jika ia tidak dilakukan, negara ini akan berdepan dengan drama dan  modus operandi sama beberapa tahun lagi.

“Ini bukanlah kali pertama… Kita telah menyaksikan episod yang melibatkan Darul Arqam beberapa puluh tahun yang lalu, diikuti dengan Pertubuhan Rufaqa’ yang membawa modus operandi yang sama.

“Kini, ia berulang lagi dengan GIHB (GISBH). Cerita mengenai Yaqazah dan Pemuda Bani Tamim juga muncul, diakhiri dengan persediaan menunggu kedatangan Imam Mahdi.

“…Mengapa agensi pihak berkuasa agama terlepas daripada memantau gerakan ini begitu lama? Mengapa mereka berjaya mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh, termasuk Perdana Menteri?

“Secara logiknya, Perdana Menteri tidak mungkin mengetahui secara terperinci mengenai tetamu-tetamu yang berjumpa dengannya; inilah tugas pegawai yang berada di sekeliling pemimpin-pemimpin, termasuk agensi agama yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat sejak lama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Foto: Tangkap layar hantaran Ahmad Fadhli.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jika menteri dan Perdana Menteri sendiri menerima kunjungan mereka dengan penuh hormat, dibimbangi ada sesuatu yang tidak kena dalam proses pemantauan pihak berkuasa agama.

Beliau berkata perkara itu perlu diteliti dan disiasat tanpa mengambil kira pandangan politik partisan.

“Mengapa mereka boleh berkembang sedemikian rupa, mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia dengan kaedah perhambaan moden yang tidak boleh dimaafkan? Kenapa baru hari ini ia menjadi isu yang meletus?

“Dari sudut penyelewengan akidah, kali ini kita perlu sampai ke akar umbi. Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali keempat, kelima, atau keenam, sehingga entah berapa kali lagi,” katanya.

Dalam serbuan pada 11 Sept lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara satu hingga 17 tahun, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi Op Global.

Hasil serbuan juga mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal terlibat dan susulan itu 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita.

Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.

Ia susulan penemuan risalah dan buku-buku di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan bulan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata semua buku dan risalah dirampas dalam Op Global mempunyai kaitan dengan pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, organisasi yang difatwakan sesat pada 1994.

Selain itu, katanya siasatan polis terhadap GISBH kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan akan menggunakan seluruh peruntukan serta undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Ketika Al-Arqam diharamkan, kita tidak mempunyai undang-undang seperti ini dan membuatkan bekas-bekas ahli Al-Arqam menubuhkan GISBH dan bergerak sebagai sebuah syarikat kini kami mahu ia ditamatkan sepenuhnya, oleh itu segala tindakan kami perlu dijalankan dengan berhati-hati,” katanya dipetik BERNAMA pada Isnin. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *