Terkini
Serbuan GISBH: JAKIM tidak layak diberi kredit – Penasihat khas Menteri Komunikasi
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak layak diberikan ‘kredit’ dalam isu melibatkan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), kata Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
- “Saya yang terlibat langsung dan tak langsung; JAKIM tak layak diberikan kredit. Menteri Agama layak diberikan kredit.
- “JAKIM benar-benar tak berguna dalam proses ini. Bahkan yang tak mahu ‘percaya’ dapatan para pengkaji di peringkat awal sehingga terpaksa ke Perlis,” ciap Penasihat Khas Menteri Komunikasi, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin di platform X pada Khamis.
- Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas kepada ciapan pengguna X lain yang menyatakan penghargaan ke atas Menteri Agama, JAKIM dan pihak polis kerana bertindak atas aduan orang ramai berhubung isu kanak-kanak dan remaja yang menghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH didakwa diajar cara meliwat dan diliwat.
- Ini susulan serbuan Ops Global kelmarin di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan kumpulan perniagaan itu, di mana siasatan polis mendapati antara modus operandi dilakukan adalah penghuni dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak layak diberikan ‘kredit’ dalam isu melibatkan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), kata Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
Abu Hafiz yang juga Penasihat Khas Menteri Komunikasi menyifatkan JAKIM sebagai ‘tidak berguna’ dalam proses membawa kepada tindakan terhadap GISBH, malah ada pihak dalam jabatan itu sebelum ini tidak percaya kepada hasil dapatan dan pemantauan aktivis yang dijalankan terhadap syarikat tersebut.
“Saya yang terlibat langsung dan tak langsung; JAKIM tak layak diberikan kredit. Menteri Agama layak diberikan kredit.
“JAKIM benar-benar tak berguna dalam proses ini. Bahkan yang tak mahu ‘percaya’ dapatan para pengkaji di peringkat awal sehingga terpaksa ke Perlis,” ciap Abu Hafiz di platform X pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas kepada ciapan pengguna X lain yang menyatakan penghargaan ke atas Menteri Agama, JAKIM dan pihak polis kerana bertindak atas aduan orang ramai berhubung isu kanak-kanak dan remaja yang menghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH didakwa diajar cara meliwat dan diliwat.
Ini susulan serbuan Ops Global kelmarin di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan kumpulan perniagaan itu, di mana siasatan polis mendapati antara modus operandi dilakukan adalah penghuni dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
Dalam Op Global itu, seramai 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal terbabit bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.
Susulan penahanan itu, 402 individu diselamatkan, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun, yang akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata berdasarkan maklumat dan siasatan dilakukan, polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Mengulas isu sama, menerusi hantaran di Facebook semalam Abu Hafiz berkata, kumpulan pengkaji dan pihak aktivis yang ditendang bagaikan bola oleh pihak berkuasa agama adalah hero sebenar mengambil risiko besar dalam isu berkenaan.
Ini kerana kelompok itu yang melalui jalan berliku untuk menarik perhatian pihak berkuasa dalam kes berkenaan.
Abu Hafiz yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran & Sunnah UIAM itu mendakwa ada beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu memberi perhatian serius kepada dapatan pengkaji dan aktivis yang memantau GISB.
Susulan itu, pihak yang menjalankan pemantauan tersebut terpaksa bertemu dengan Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk memintanya menyuarakan isu tersebut melalui ceramah dan program audio siarnya.
Di sebalik kekecohan perkara itu selepas disentuh Mohd Asri, Abu Hafiz berkata masih belum ada pihak berkuasa, khususnya JAKIM, yang dilihat berminat untuk bertindak.
“Perlu diingat, kajian & dapatan tentang GISB di JAKIM telah dibuat lebih awal dari 2013 lagi. Untuk menyatakan JAKIM tiada maklumat, amat naif dan bodoh.
“Jagat maya (antaranya PUKAS Malaysia & Scam No One) digerakkan untuk memastikan momentum kes ini terus menarik perhatian dengan pendedahan-pendedahan yang asli… YB Menteri Agama, Dato’ Setia Dr. Naim meminta JAKIM sedikit bertindak dan bergerak, namun jagat maya tidak melihat apa-apa hasil.
“Setelah melihat keringat rakan-rakan yang mendedahkan isu GISB ini sangat bersungguh, saya memutuskan untuk luahkan rasa geram akan respon pihak berkuasa agama berhubung isu GISB… Hasilnya, benarlah, begitu banyak alasan diberikan sebahagian pihak berkuasa agama apabila dapatan kajian pasukan pengkaji itu dibentangkan.
“Rentetan dari luahan saya, saya menerima respon yang sangat baik dan proaktif dari Menteri Agama… Hanya beliau yang ‘turun gunung’ bertanya dan mahukan beberapa kepastian… Tiada mana-mana badan agama apatah lagi JAKIM yang menerima bajet tahunan hampir RM2 bilion itu, bertanya dan bersungguh seperti Menteri Agama,” katanya.
Abu Hafiz juga memberi penghargaan kepada Razarudin yang boleh dianggap antara watak penting yang menggerakkan Op Global sehingga mencapai kejayaan kelmarin.
Beliau juga berharap reformasi besar-besaran di JAKIM dimulakan dan dipercepatkan.
“Sebelum ini, saya kongsikan pada Setiausaha Politik Menteri Agama, bahawa teguran dan perbincangan sudah terlalu banyak dalam reformasi JAKIM.
“Yang diperlukan adalah tindakan! Kalau ingin benar-benar berubah, JAKIM boleh mula merombak Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan dan mengembalikan Dr. Aizam Mas’ud ke Bahagian Penyelidikan dan Kajian Akidah,” katanya. — The Merdeka Times