Terkini
Polis selamatkan 402 kanak-kanak, remaja mangsa eksploitasi rumah amal
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, berusia antara setahun hingga 17 tahun, disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi ‘Op Global’ hari ini, lapor media tempatan.
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, berusia antara setahun hingga 17 tahun, disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi ‘Op Global’ hari ini, lapor media tempatan.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata mangsa diselamatkan terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
- Beliau berkata hasil serbuan operasi khas itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal terbabit.
- “Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun,” katanya dipetik Berita Harian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan, hari ini.
- Beliau berkata berdasarkan maklumat dan siasatan dilakukan, polis mengesyaki ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, berusia antara setahun hingga 17 tahun, disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi ‘Op Global’ hari ini, lapor media tempatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata mangsa diselamatkan terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
Beliau berkata hasil serbuan operasi khas itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal terbabit.
“Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun,” katanya dipetik Berita Harian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat dan siasatan dilakukan, polis mengesyaki ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Mendedahkan modus operandi GISBH yang diperoleh berdasarkan risikan polis dan kenyataan mangsa, Razarudin berkata mangsa mendakwa diajar, dididik untuk meliwat dan seterusnya diliwat oleh penjaga serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
“Ini daripada risikan serta percakapan yang kita rakam. Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal,” kata Razarudin menambah unsur eksploitasi agama dipercayai digunakan untuk menarik simpati dan sumbangan luar.
Beliau berkata terdapat juga dakwaan kanak-kanak terbabit didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila melakukan kesilapan.
Razarudin memaklumkan polis sudah membuka empat kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah mendapat arahan Pejabat Peguam Negara untuk melaksanakan pertuduhan.
“Pertuduhan atas satu kertas siasatan ini adalah mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Lain-lain siasatan yang sudah dibuka adalah mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan) dan beberapa seksyen lain,” kata Razarudin. – The Merdeka Times