Antarabangsa
Kanak-kanak Gaza diberi vaksin polio mulai semalam
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melancarkan kempen vaksinasi polio bagi kanak-kanak berumur bawah 10 tahun di Gaza pada Ahad.
- Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melancarkan kempen vaksinasi polio bagi kanak-kanak berumur bawah 10 tahun di Gaza pada Ahad.
- “Kempen vaksinasi telah bermula di kawasan tengah Gaza, di mana lebih daripada 200 pasukan kami sedang memberikan vaksin di 28 kemudahan kesihatan UNRWA dan menuju dari khemah ke khemah,” kata Agensi PBB itu dalam satu kenyataan dipetik agensi berita Anadolu.
- Pasukan perubatan di pusat vaksinasi di Deir al-Balah di tengah Gaza mendapati adanya tanda-tanda keletihan dan kekurangan zat makanan ramai kanak-kanak yang menerima vaksinasi akibat keadaan sukar ekoran serangan berterusan Israel di Gaza selama hampir 11 bulan.
- Menurut sumber rasmi, kempen dengan kerjasama WHO dan UNICEF itu tertumpu di tengah Gaza dari 1 hingga 4 September, diikuti Khan Younis dari 5 hingga 9 September dan akan berakhir di Bandar Gaza dan kawasan utara dari 9 hingga 12 September.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melancarkan kempen vaksinasi polio bagi kanak-kanak berumur bawah 10 tahun di Gaza pada Ahad.
“Kanak-kanak di Gaza telah mula menerima vaksin polio pagi ini.
“Kempen vaksinasi telah bermula di kawasan tengah Gaza, di mana lebih daripada 200 pasukan kami sedang memberikan vaksin di 28 kemudahan kesihatan UNRWA dan menuju dari khemah ke khemah,” kata Agensi PBB itu dalam satu kenyataan dipetik agensi berita Anadolu.
UNRWA menyediakan peta memperincikan pusat-pusat vaksinasi di kawasan tengah Gaza.
Menurut seorang wartawan Anadolu, ribuan rakyat berpusu-pusu ke pusat-pusat itu untuk memvaksin anak-anak mereka terhadap polio.
Pasukan perubatan di pusat vaksinasi di Deir al-Balah di tengah Gaza mendapati adanya tanda-tanda keletihan dan kekurangan zat makanan ramai kanak-kanak yang menerima vaksinasi akibat keadaan sukar ekoran serangan berterusan Israel di Gaza selama hampir 11 bulan.
Menurut sumber rasmi, kempen dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu tertumpu di tengah Gaza dari 1 hingga 4 September, diikuti Khan Younis dari 5 hingga 9 September dan akan berakhir di Bandar Gaza dan kawasan utara dari 9 hingga 12 September.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada 16 Ogos lalu menyeru gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari bagi membolehkan kempen vaksinasi polio menyasarkan 640,000 kanak-kanak.
Seruan Guterres disokong UNRWA dan permintaan itu dibuat susulan Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan kes polio pertama di Gaza, melibatkan seorang kanak-kanak berumur sepuluh bulan. – The Merdeka Times