Connect with us

Terkini

AIC minta Kerajaan Madani tangguh pelesenan platform media sosial

Asia Internet Coalition (AIC) meminta Kerajaan Madani untuk menangguhkan dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan pelaksanaan pelesenan platform media sosial.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Asia Internet Coalition (AIC) meminta Kerajaan Madani untuk menangguhkan dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan pelaksanaan pelesenan platform media sosial.
  • Gesaan persatuan syarikat internet dan teknologi itu disuarakan menerusi surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 26 Ogos 2024 yang mengandungi 12 muka surat berbahasa Inggeris.
  • “Kami percaya rangka kerja pelesenan ini tidak boleh dilaksanakan untuk industri dan akan memberi kesan buruk kepada inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar kepada perniagaan. 
  • “Ia akan menghalang pelaburan yang sedang berlangsung dan menghalang pelaburan masa depan disebabkan oleh kerumitan dan kos pematuhan,” kata  Pengarah Urusan AIC, Jeff Paine menerusi surat yang diterbitkan di laman web AIC.
  • Surat dengan isi kandungan sama bertarikh 23 Ogos lalu pada awalnya menamakan (meletakkan logo) 17 syarikat, termasuk Meta, Google, Apple dan X, sebelum dipinda (tanpa logo syarikat berkenaan) semalam.
  • Ia sekali gus dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Julai lalu yang dilaporkan berkata platform media sosial memberi respons positif terhadap kerangka kawal selia baharu itu.
  • Terdahulu media melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

KUALA LUMPUR — Asia Internet Coalition (AIC) meminta Kerajaan Madani untuk menangguhkan dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan pelaksanaan pelesenan platform media sosial.

Gesaan persatuan syarikat internet dan teknologi itu disuarakan menerusi surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 26 Ogos 2024 yang mengandungi 12 muka surat berbahasa Inggeris.

“Kami percaya rangka kerja pelesenan ini tidak boleh dilaksanakan untuk industri dan akan memberi kesan buruk kepada inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar kepada perniagaan. 

“Ia akan menghalang pelaburan yang sedang berlangsung dan menghalang pelaburan masa depan disebabkan oleh kerumitan dan kos pematuhan,” kata  Pengarah Urusan AIC, Jeff Paine menerusi surat yang diterbitkan di laman web AIC.

Foto: Tangkap layar petikan surat AIC bertarikh 23 Ogos yang memaparkan logo syarikat anggotanya.

Surat dengan isi kandungan sama bertarikh 23 Ogos lalu pada awalnya menamakan (meletakkan logo) 17 syarikat, termasuk Meta, Google, Apple dan X, sebelum dipinda (tanpa logo syarikat berkenaan) semalam.

Ia sekali gus dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Julai lalu yang dilaporkan berkata platform media sosial memberi respons positif terhadap kerangka kawal selia baharu itu.

Menteri berkenaan berkata dalam pertemuannya dengan wakil pelbagai platform semasa lawatan kerja tiga hari di Singapura, mereka mengakui keperluan mematuhi undang-undang Malaysia dan bersedia untuk turut serta dalam proses berkenaan.

Di Singapura, Fahmi bertemu dengan pegawai daripada pelbagai platform media sosial seperti Meta, Google, TikTok dan Tencent untuk menyampaikan kepada mereka mengenai kerangka kawal selia baharu dan membincangkan keselamatan dalam talian serta potensi kerjasama untuk memerangi aktiviti haram di platform berkenaan.

Mengulas lanjut, Paine mendakwa tiada perundingan awam rasmi mengenai perancangan tersebut sebelum kerajaan menerbitkan Kertas Maklumat dan Soalan Lazim (FAQ) pada 1 Ogos lalu. 

Paine berkata ketiadaan perbincangan kritikal telah menimbulkan banyak ketidakpastian dalam kalangan penyedia perkhidmatan platform tentang skop obligasi mereka.

“Tiada platform boleh dijangka akan mendaftar di bawah syarat-syarat ini.

“Kami juga amat bimbang tentang bagaimana rangka kerja pelesenan akan memberi kesan kepada ekonomi digital Malaysia. Malaysia telah menjadi hab digital utama, menarik pelaburan besar pada 2024,” katanya.

Paine berkata pihaknya berkongsi komitmen sama dengan kerajaan untuk menangani bahaya dalam talian, namun garis masa pelaksanaan yang dicadangkan menyebabkan industri tidak jelas dan tiada masa mencukupi untuk menilai implikasinya.

Kementerian Komunikasi pada 21 Ogos lalu dilaporkan memberi memberi jaminan proses permohonan lesen penyedia platform media sosial dan sistem pesanan internet hanya mengambil masa antara tiga hingga lima hari waktu bekerja.

Bagaimanapun, Fahmi berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan setakat ini dan menjangka proses itu akan berlangsung bermula Oktober atau November ini. 

Terdahulu media melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenalkan bermula 1 Ogos ini. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *