Connect with us

Terkini

Tidak wajar sebar Islam di rumah ibadat bukan Islam – MCCBCHST

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) tidak bersetuju dengan pendapat Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron bahawa orang Islam dibenarkan memasuki rumah ibadat agama lain dengan tujuan menyebarkan dakwah dan syariat Islam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) tidak bersetuju dengan pendapat Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron bahawa orang Islam dibenarkan memasuki rumah ibadat agama lain dengan tujuan menyebarkan dakwah dan syariat Islam.
  • “Dakwaan Mufti Terengganu bahawa orang Islam dibenarkan memasuki tempat ibadat agama lain untuk berdakwah boleh menjejaskan kesucian tempat ibadat bukan Islam sekaligus mewujudkan suasana permusuhan yang boleh menyebabkan gangguan keamanan,” katanya dipetik media tempatan berbahasa Inggeris di sini pada Ahad.
  • Difahamkan,  MCCBCHST berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Mohamad Sabri yang dilaporkan media tempatan menyatakan orang Islam dibenarkan masuk ke rumah ibadat agama lain untuk menyebarkan dakwah dan syariat Islam. 
  • MCCBCHST memetik Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan menyatakan, walaupun peruntukan itu memberikan hak kepada setiap kumpulan agama menganut dan mengamalkan agama mereka dan tertakluk kepada Fasal (4) untuk menyebarkannya, namun Fasal (4) tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan umat Islam menyebarkan agama mereka kepada bukan Islam.

KUALA LUMPUR — Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) tidak bersetuju dengan pendapat Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron bahawa orang Islam dibenarkan memasuki rumah ibadat agama lain dengan tujuan menyebarkan dakwah dan syariat Islam.

MCCBCHST berkata tindakan menyebarkan Islam ke rumah ibadat bukan Islam boleh mengakibatkan gangguan ketenteraman.

“Dakwaan Mufti Terengganu bahawa orang Islam dibenarkan memasuki tempat ibadat agama lain untuk berdakwah boleh menjejaskan kesucian tempat ibadat bukan Islam, sekaligus mewujudkan suasana permusuhan yang boleh menyebabkan gangguan keamanan.

“Cadangan Mufti Terengganu boleh membawa kepada perasaan jahat, tidak harmoni, benci, permusuhan dan lain-lain di antara pelbagai agama,” katanya dipetik media tempatan berbahasa Inggeris di sini pada Ahad.

Difahamkan,  MCCBCHST berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Mohamad Sabri yang dilaporkan media tempatan menyatakan orang Islam dibenarkan masuk ke rumah ibadat agama lain untuk menyebarkan dakwah dan syariat Islam. 

“Tidak boleh kita pergi (rumah ibadat agama lain) tanpa tujuan. Datang memperkenalkan Islam dan untuk berdakwah, dibolehkan. Bukan tujuan menyatakan Islam sama dengan agama lain,” katanya kepada Sinar Ahad pada 4 Ogos lalu.

Ia berikutan video tular memaparkan program Lawatan Harmoni Terbimbing untuk guru-guru agama dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Kasipillay, Ipoh, Perak yang mencetuskan kebimbangan apabila seorang wanita daripada JAIPk menyifatkan terdapat banyak persamaan antara agama Hindu dan Islam.

MCCBCHST memetik Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan menyatakan, walaupun peruntukan itu memberikan hak kepada setiap kumpulan agama menganut dan mengamalkan agama mereka dan tertakluk kepada Fasal (4) untuk menyebarkannya, namun Fasal (4) tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan umat Islam menyebarkan agama mereka kepada bukan Islam.

“Fasal (4) membenarkan undang-undang Negeri dan Undang-undang Persekutuan mengawal dan menyekat penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam. Oleh itu, Fasal (4) memperuntukkan perisai undang-undang kepada orang Islam supaya penyebaran agama lain kepada mereka boleh dikawal atau disekat.

“Fasal (4) ini tidak boleh ditafsirkan sebagai orang Islam bebas menyebarkan kepercayaan mereka kepada orang bukan Islam kerana tiada peruntukan sedemikian dalam perlembagaan.

“Fasal (4) memperkatakan tentang perlindungan ‘orang yang menganut agama Islam’. Ia tidak bercakap tentang berdakwah di tempat ibadat bukan Islam,” kata MCCBCHST.

MCCBCHST berkata Mufti Terengganu perlu menghormati hak semua individu dan mematuhi tafsiran yang betul mengenai Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

Kumpulan itu berkata semua rumah ibadat adalah tempat suci dan setiap agama mempunyai hak untuk menguruskan urusan mereka sendiri.

“Jika tujuan memasuki tempat ibadat untuk memupuk perpaduan dan mempromosikan hubungan serta pemahaman antara agama, maka ia patut dialu-alukan.

“Tetapi jika tujuan lawatan untuk menyebarkan agama sendiri di tempat ibadat agama lain, maka ia tindakan yang menyinggung perasaan dan boleh menjejaskan kesucian tempat ibadat serta menyebabkan ketidakharmonian.

“Setiap kumpulan agama berhak melarang mana-mana kumpulan agama lain menyebarkan agama mereka di tempat ibadat mereka,” kata MCCBCHST. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *