Terkini
Majlis TVET Negara nafi sijil Diploma TVET tidak diiktiraf JPA
Majlis TVET Negara (MTVET) menafikan dakwaan Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk digunapakai bagi berkhidmat dalam Skim Perkhidmatan Awam sebagaimana ia dibangkitkan beberapa portal media sebelum ini.
- Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MTVET, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Diploma TVET tidak diiktiraf JPA untuk digunapakai bagi berkhidmat dalam Skim Perkhidmatan Awam sebagaimana ia dibangkitkan beberapa portal media sebelum ini.
- “Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016 – Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia dikeluarkan JPA, 68 skim perkhidmatan iaitu 66 skim perkhidmatan gred 19 dan 2 skim perkhidmatan gred 29 telah memperuntukkan Persijilan Kemahiran Malaysia sebagai salah satu syarat permohonan ke Perkhidmatan Awam.
- “Malah berdasarkan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam atau eSisraf, kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) turut diterima untuk lantikan ke perjawatan Perkhidmatan Awam.
- “Tambahan itu, JPK dari semasa ke semasa akan merujuk JPA bagi meneliti perihal pengiktirafan, sekiranya terdapat bidang pekerjaan lain di sektor kerajaan yang memerlukan Pensijilan Kemahiran Malaysia,” kata Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
- Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai syarat permohonan ke Perkhidmatan Awam.
KUALA LUMPUR — Majlis TVET Negara (MTVET) menafikan dakwaan Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk digunapakai bagi berkhidmat dalam Skim Perkhidmatan Awam sebagaimana ia dibangkitkan beberapa portal media sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MTVET, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program TVET di Malaysia dilaksanakan berdasarkan pentauliahan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang bersandarkan Kerangka Kelayakan Malaysia.
Zahid Hamidi berkata Persijilan Kemahiran Malaysia dikeluarkan JPK merangkumi persijilan peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi tahap satu, dua dan tiga; Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) bagi tahap empat dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) bagi tahap lima.
Katanya, pensijilan itu berdasarkan kompetensi pekerjaan atau kemahiran diperlukan industri yang didokumenkan sebagai Standard Pekerjaan Kemahiran Malaysia (SPKM) atau dikenali NOSS (National Occupational Skills Standard).
“Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016 – Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia dikeluarkan JPA, 68 skim perkhidmatan iaitu 66 skim perkhidmatan gred 19 dan 2 skim perkhidmatan gred 29 telah memperuntukkan Persijilan Kemahiran Malaysia sebagai salah satu syarat permohonan ke Perkhidmatan Awam.
“Malah berdasarkan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam atau eSisraf, kelayakan DKM turut diterima untuk lantikan ke perjawatan Perkhidmatan Awam.
“Tambahan itu, JPK dari semasa ke semasa akan merujuk JPA bagi meneliti perihal pengiktirafan, sekiranya terdapat bidang pekerjaan lain di sektor kerajaan yang memerlukan Pensijilan Kemahiran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini bagi mengulas isu berkaitan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai syarat permohonan ke Perkhidmatan Awam.
Mengulas lanjut, Zahid Hamidi berkata rujukan JPK kepada JPA itu bertujuan membuka peluang lebih luas kepada graduan TVET yang dikeluarkan melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan, sekali gus meningkatkan kualiti Perkhidmatan Awam secara keseluruhan.
Pengerusi MTVET itu juga berharap spekulasi seperti sebelum ini tidak diperbesarkan bagi mengelakkan kesalahfahaman masyarakat, sedangkan potensi bidang TVET sangat besar.
Ia termasuk kebolehpasaran graduan mencatatkan 94.5 peratus pada 2023, berbanding 92.5 peratus pada 2022 yang menunjukkan penerimaan dan pengiktirafan tinggi industri terhadap graduan TVET.
Pada Isnin, The Merdeka Times melaporkan terdapat seorang individu mendakwa Diploma Kemahiran TVET tidak diiktiraf JPA untuk digunapakai bagi berkhidmat dalam skim perkhidmatan awam.
Dakwaan itu dibuat individu terbabit di Telegram ‘Edisi Siasat’ (ES) dan meminta ES menyebarkan perkara berkenaan kerana kesian melihat ramai anak muda dan ibu bapa tertipu dengannya.
“Kerajaan sangat mempromosikan TVET dan mengatakan TVET bukan lagi kelas kedua.
“Tapi sebenarnya Kerajaan sendiri tidak mengiktiraf TVET, Diploma Kemahiran TVET yang dikeluarkan oleh JPK diiktiraf MQA, tapi tidak diiktiraf JPA untuk digunapakai bagi berkhidmat dalam skim perkhidmatan awam.
“Kecuali dua skim sahaja yang diterima iaitu Skim Penolong Pegawai Latihan Vokasional dan Penolong Pegawai Latihan,” dakwa individu itu dalam hantaran di Telegram ES pada Sabtu. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/