Terkini
Tiada kasino dibuka atau beroperasi di Johor – MB
Kerajaan Johor menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.

- Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dengan penegasan itu Kerajaan Negeri berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan.
- “Berikutan tular berita kononnya kasino bakal dibuka di Forest City, Kerajaan Johor ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.
- “Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Johor yakin Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi bakal bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
- Sebelum ini, laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dua hartawan terkemuka pada minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dengan penegasan itu Kerajaan Negeri berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan.
“Berikutan tular berita kononnya kasino bakal dibuka di Forest City, Kerajaan Johor ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.
“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Johor yakin Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi bakal bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini, laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dua hartawan terkemuka pada minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
Laporan itu mendakwa Anwar, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan terbabit mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.
Bagaimanapun, Perdana Menteri semalam menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor.
Tegasnya, laporan media yang memetik sumber bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu, adalah tidak betul.
Onn Hafiz memaklumkan Kerajaan Negeri tidak pernah menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara berkenaan.
Katanya, sejarah Johor jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di negeri ini sudah pun ditutup.
“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah sebelum ini bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” katanya. – The Merdeka Times
