Antarabangsa
(VIDEO) “Saya akan jadi ayah paling gembira di dunia”, bapa pelajar protes kezaliman Israel
Seorang lelaki menyifatkan dirinya sebagai bapa paling gembira di dunia jika anak perempuannya ditangkap kerana melakukan protes ke atas kezaliman rejim Israel di Gaza, Palestin.
Seorang lelaki menyifatkan dirinya sebagai bapa paling gembira di dunia jika anak perempuannya ditangkap kerana melakukan protes ke atas kezaliman rejim Israel di Gaza, Palestin.
Menyifatkan tindakan anaknya sebagai sesuatu yang betul, Lazaro Awelo membuat kenyataan itu di kampus Universiti California Selatan (UCS) pada Khamis dalam temu bual dengan saluran televisyen ABC7.
Beliau ditanya pemberita adakah beliau tidak bimbang jika polis menangkap pelajar dan anaknya yang terbabit menganjurkan protes pro-Palestin itu.
“Ya, ia membimbangkan saya, tetapi anak perempuan saya melakukan keputusan yang betul, jika dia sanggup ditangkap kerana berjuang untuk Palestin, saya akan menjadi ayah yang paling gembira.
“Saya akan menjadi ayah yang paling gembira, jika dia lakukan perkara yang betul dan saya tahu dia lakukan perkara yang betul, jika polis tangkap saya sekarang, saya sanggup pergi bersama pelajar-pelajar, saya tiada masalah,” kata Lazaro semalam.
Lazaro turut memuji semangat golongan muda yang memprotes dan menolak genosid (pembunuhan beramai-ramai) dilakukan zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
“Dia (anaknya) di sekitar sini kerana polis mula mengejar semua pelajar, mereka mengugut jika kita tidak meninggalkan kampus, kami akan ditangkap, tetapi para pelajar sangat berani, lihat mereka, mereka tidak mahu meninggalkan kampus,” kata Lazaro
Selain menekankan kepentingan menyokong perjuangan Palestin, Lazaro turut menekankan nilai empati dan mendesak pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dihentikan dan nilai kemanusiaan diutamakan.
“Saya ada anak-anak, bukan sahaja yang berumur belasan tahun, ada yang berusia 7 tahun, dan sekarang bayangkan menjadi seorang bapa di Palestin, lihat anak saya dibunuh oleh Israel, Itu bukan perkara betul.
“Kita ada kemanusiaan, ini bukan isu agama, politik, tidak! kita manusia, kita tidak boleh sokong apa sahaja (jenis) pembunuhan beramai-ramai,” kata Lazaro. – The Merdeka Times