Connect with us

Terkini

(VIDEO) LZS nafi tidak utamakan farmasi Muslim, pelantikan farmasi panel bantuan perubatan asnaf terbuka ikut syarat, kelayakan

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan dakwaan pihaknya  tidak mengutamakan farmasi Muslim dalam pelantikan farmasi panel bagi program bantuan perubatan asnafnya di negeri itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

KUALA LUMPUR — Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan dakwaan pihaknya  tidak mengutamakan farmasi Muslim dalam pelantikan farmasi panel bagi program bantuan perubatan asnafnya di negeri itu.

Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan berkata dakwaan itu tidak berasas kerana tawaran pelantikan farmasi atau syarikat pembekalan perubatan terbuka kepada semua yang memenuhi syarat dan kelayakan ditetapkan LZS.

Katanya, antara syarat kelayakan pertama perlu dipenuhi adalah farmasi mesti mempunyai semua lesen operasi dan kebenaran diperlukan di bawah Akta Lesen Racun 1952 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara lesen diperlukan adalah lesen farmasi, lesen ahli farmasi, lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lesen-lesen jenis A.

“Mengapakah LZS mengambil tindakan untuk melantik panel farmasi syarikat pembekalan perubatan ini adalah pertama disebabkan untuk memudahkan asnaf mendapatkan bekalan perubatan mengikut lokaliti masing-masing.

“Yang kedua adalah sebagai langkah kawalan dalam penyaluran bantuan keperluan perubatan oleh panel dilantik dan bagi menjamin ketelusan dan kualiti bantuan keperluan perubatan yang diterima asnaf.

“Dan yang keempatnya adalah sebagai salah satu proses due diligence di peringkat LZS  bagi memastikan panel yang dilantik adalah pemegang lesen yang berdaftar dengan KKM,” katanya menerusi klip video berdurasi 3.34 minit dimuat naik di Facebook pada Isnin malam.

The Merdeka Times (TMT) semalam memetik kenyataan sumber industri farmasi melaporkan  LZS didakwa tidak mengutamakan farmasi Muslim sebagai farmasi panel bagi program bantuan perubatan asnaf di negeri itu.

Siasatan TMT sejak awal Januari lalu mendapati ada daerah di Selangor yang menunjukkan lebih separuh daripada farmasi yang dilantik sebagai panel atau vendor LZS bagi program itu adalah farmasi bukan Muslim.

Ia menimbulkan persoalan kerana program itu membabitkan penggunaan duit zakat dan seharusnya keutamaan diberikan kepada orang Islam berbanding bukan Islam yang tidak membayar zakat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhil berkata 413 farmasi atau syarikat pembekalan perubatan dilantik LZS dalam tempoh tiga tahun ini sebagai panel bagi melaksanakan program itu.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan pecahan farmasi atau syarikat pembekalan perubatan itu mengikut pemilikan Muslim atau bukan Muslim.

Beliau berkata LZS menilai panel-panel itu dari segi keupayaan menyediakan bekalan perubatan mencukupi dan paling penting ia mudah untuk diakses asnaf di kawasan mereka.

“LZS juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa kepada panel-panel yang dilantik dan akan membuat semakan semula ke atas prestasi perkhidmatan farmasi sepanjang tempoh pelantikan bagi memastikan farmasi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada asnaf.

“Penawaran menjadi panel farmasi syarikat pembekalan perubatan ini terbuka dan sekiranya ada farmasi-farmasi yang berminat boleh berhubung secara terus dengan LZS.

“Oleh itu, kami di LZS amat mengalukan-alukan farmasi atau syarikat berkaliber dan memenuhi kriteria ditetapkan bagi memberi perkhidmatan kepada asnaf di Selangor,” katanya. 

Untuk rekod, LZS pada tahun lalu sahaja menyalurkan bantuan perubatan kepada kira-kira 12,000 penerima dan jumlah itu dijangka meningkat setiap tahun.— The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *