Terkini
Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan seperti warna yang suram – Sultan Perak
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Islam akan lebih dihormati dan akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang.
- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Islam akan lebih dihormati dan akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang.
- Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh, Perak, hari ini.
- Baginda bertitah, Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna.
- “Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus,” titah baginda dipetik Utusan Malaysia.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Islam akan lebih dihormati dan akan terus dimuliakan jika majoriti penganut Islam terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang.
Baginda bertitah, Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram serta nama yang lompong tanpa pengisian yang bermakna.
“Islam tidak wujud dalam vakum, tetapi wujud melalui dukungan para penganut yang menerima atau memilih Islam sebagai agama.
“Jurang besar yang dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini ialah penganut yang besar daripada segi angka, berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.
“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi oleh tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam.
“Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus,” titah Baginda dipetik Utusan Malaysia.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh, Perak, hari ini.
Baginda bertitah, agama Islam tegak atas dasar ilmu dan ilmu ialah teras untuk membangunkan masyarakat yang progresif dan tamadun yang agung.
Titah baginda, ilmu merupakan komponen yang akan membentuk nilai-nilai keperibadian seorang insan yang akan mengangkat taraf kehidupan masyarakat dan akan menjulang kemuliaan bangsa dan negara.
“Malah ilmu berperanan sebagai perisai paling kukuh untuk melindungi manusia daripada tergelincir akidah kerana terpengaruh dengan tafsiran ulama samaran, atau terpesong fahaman kerana ungkapan kata-kata pemimpin palsu yang bertopengkan agama.
“Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan, melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan dan digabungkan,” titah Baginda. – The Merdeka Times