Terkini
Lantik pakar perlembagaan bukan Islam bantu jawatankuasa kaji undang-undang syariah – Ahli Parlimen DAP
Kerajaan Madani disaran melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, kata Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.
- Kerajaan Madani disaran melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam, kata Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.
- Ahli Parlimen dari DAP itu berkata, langkah itu penting dalam mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dilakukan.
- “Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan dipetik FMT di sini hari ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani disaran melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, kata Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.
Ahli Parlimen dari DAP itu berkata, langkah itu penting dalam mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dilakukan.
Beliau turut mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama perlu dibincangkan secara menyeluruh bagi mengelakkan konflik.
“Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan dipetik FMT di sini hari ini.
Beliau juga menyarankan kerajaan melibatkan Badan Peguam memandangkan badan berkanun itu dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.
Terdahulu, Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.
Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada majlis penyerahan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas pada 5 Disember lalu berkata, anggota jawatankuasa khas itu mempunyai kredibiliti serta kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang perundangan.
Mohd Na’im berkata jawatankuasa khas itu diyakini mampu mencari jalan penyelesaian terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah daripada berterusan. – The Merdeka Times