Terkini
Zahid Hamidi bantah permohonan Badan Peguam cabar keputusan DNAA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membantah tindakan Badan Peguam yang mempertikai keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan kes terhadapnya menyebabkan beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pada September lalu.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membantah tindakan Badan Peguam yang mempertikai keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan kes terhadapnya menyebabkan beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pada September lalu.
- Peguam Guok Ngek Seong mewakili Presiden Umno itu dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bantahan tersebut akan difailkan sebelum 11 Januari 2024.
- Mahkamah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes sebelum ini, untuk mendengar permohonan Badan Peguam bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung keputusan Peguam Negara tersebut.
- Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
- Pada 2 Disember lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Zahid Hamidi selaku responden, memohon perintah keputusan Peguam Negara yang memohon Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.
KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membantah tindakan Badan Peguam yang mempertikai keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan kes terhadapnya menyebabkan beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pada September lalu.
Peguam Guok Ngek Seong mewakili Presiden Umno itu dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bantahan tersebut akan difailkan sebelum 11 Januari 2024.
Mahkamah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes sebelum ini, untuk mendengar permohonan Badan Peguam bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung keputusan Peguam Negara tersebut.
Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.
Pada 2 Disember lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Zahid Hamidi selaku responden, memohon perintah keputusan Peguam Negara yang memohon Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.
Badan Peguam itu turut memohon perisytiharan keputusan Peguam Negara tersebut adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Turut dimohon ialah satu perisytiharan bahawa keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.
Berikutan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang – dan jika menganggap sesuai dan wajar – untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Zahid Hamidi .
Sebagai alternatif, Badan Peguam memohon perintah untuk mengarahkan Peguam Negara membekalkannya dengan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Zahid Hamidi.
Badan Peguam memberikan alasan dalam permohonannya, Peguam Negara bertindak secara ultra vires (bertentangan) bidang kuasa ketika memohon DNAA dan keputusan itu juga tidak munasabah dan tidak rasional. — The Merdeka Times