Terkini
Paksa pelajar Dalit bersih tangki septik, Kakitangan sekolah ditahan polis
Beberapa kakitangan sekolah di daerah Kolar, Karnataka, India ditahan polis selepas didakwa memaksa pelajar daripada kasta Dalit untuk membersihkan tangki septik.
- Beberapa kakitangan sekolah di daerah Kolar, Karnataka, India ditahan polis selepas didakwa memaksa pelajar daripada kasta Dalit untuk membersihkan tangki septik.
- Ia susulan video pelajar terbabit melakukan kerja pembersihan secara manual itu yang tular di media sosial.
- Insiden itu mengundang kecaman pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) di Karnataka, Vijayendra Yediyurappa terhadap kerajaan negeri itu kerana dilihat membiarkan golongan minoriti terbabit dieksploitasi.
- “Ini adalah perkara membimbangkan kerana mereka yang berasal golongan Dalit berpotensi menjadi mangsa keganasan dan eksploitasi,” katanya dipetik Hindustan Times pada Isnin.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Beberapa kakitangan sekolah di daerah Kolar, Karnataka, India ditahan polis selepas didakwa memaksa pelajar daripada kasta Dalit untuk membersihkan tangki septik.
Ia susulan video pelajar terbabit melakukan kerja pembersihan secara manual itu yang tular di media sosial.
Menurut laporan media, pihak polis menahan pengetua sekolah dan guru pendidikan seni serta tiga kakitangan lain.
Insiden itu mengundang kecaman pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) di Karnataka, Vijayendra Yediyurappa terhadap kerajaan negeri itu kerana dilihat membiarkan golongan minoriti terbabit dieksploitasi.
“Ini adalah perkara membimbangkan kerana mereka yang berasal golongan Dalit berpotensi menjadi mangsa keganasan dan eksploitasi,” katanya dipetik Hindustan Times pada Isnin.
Ketua Menteri Karnataka, Siddaramaiah memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dalam kes berkenaan.
Aktiviti kerja pembersihan kumbahan secara manual diharamkan di India sejak tiga dekad lalu, namun ia masih dipraktikkan di beberapa tempat.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India. – The Merdeka Times