Terkini
DBKL nafi tarik balik larangan jual arak
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina sebagaimana ia tular baru-baru ini.
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina sebagaimana ia tular baru-baru ini.
- “Merujuk kepada pernyataan bahawa Lembaga Pelesenan Eksais yang telah bersidang pada 23 November 2023 telah menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina adalah tidak benar kerana pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina masih tertakluk kepada garis panduan tersebut yang telah ditetapkan,” kata DBKL dalam kenyataan pada Isnin.
- Terdahulu, tular dakwaan menyatakan ahli jawatankuasa yang baharu dilantik Lembaga Pelesenan Eksais di bawah DBKL dilaporkan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.
KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina sebagaimana ia tular baru-baru ini.
DBKL berkata pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina masih tertakluk kepada garis panduan ditetapkan.
“Merujuk kepada pernyataan bahawa Lembaga Pelesenan Eksais yang telah bersidang pada 23 November 2023 telah menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina adalah tidak benar kerana pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina masih tertakluk kepada garis panduan tersebut yang telah ditetapkan,” kata DBKL dalam kenyataan pada Isnin.
DBKL berkata persidangan lembaga pada tarikh itu hanya meluluskan 1,519 permohonan pembaharuan lesen borong, rumah awam dan runcit sementara tiada lesen runcit baharu yang diluluskan.
Katanya, tiada pemansuhan kepada pembekuan pengeluaran lesen baharu bagi penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina berdasarkan garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras (liquor yang memabukkan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedang berkuatkuasa.
“DBKL merupakan urus setia kepada Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam memproses permohonan Lesen Minuman Keras di Kuala Lumpur selaras dengan perwakilan kuasa di bawah Peraturan 18 Peraturan-peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) 1977.
“Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang baru dilantik telah menjalankan fungsi sedia ada dan hanya mempertimbangkan permohonan pembaharuan lesen,” katanya.
Terdahulu, tular dakwaan menyatakan ahli jawatankuasa yang baharu dilantik Lembaga Pelesenan Eksais di bawah DBKL dilaporkan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina.
Di bawah garis panduan dilaksanakan pada 1 November 2021, DBKL melarang kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Kuala Lumpur daripada menjual minuman keras.
Bagaimanapun, pelanggan masih dibenarkan membeli bir dari premis itu dari 7 pagi hingga 9 malam. — The Merdeka Times