Connect with us

Terkini

Senarai ‘khabar gembira’ PM buat penjawat awam

Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam untuk gred 11 hingga 56.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Senarai ‘khabar gembira’ PM buat penjawat awam
Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sumber Bernama.
  • Penjawat awam gred 11 hingga 56 akan terima bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100.
  • Bayaran KGT ini akan dibuat mulai Januari depan.
  • Sebagai contoh, penjawat awam gred 11 terima  kadar KGT RM80 sebelum ini dan tambahan khas RM100 menjadikan jumlah keseluruhan diterima pada tahun 2023 sebanyak RM180.
  • Inisiatif Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 akan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah manakala RM350 bagi pesara dan veteran tidak berpencen diberi pada Januari 2023.
  • Kerajaan turut bersetuju naikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari. 
  • Kadar  Cuti Rehat Khas guru turut dinaikkan ke 15 hari bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun.

KUALA LUMPUR – Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam untuk gred 11 hingga 56.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran KGT itu merupakan antara enam inisiatif ditawarkan kepada penjawat awam.

“Bayaran KGT ini akan dibuat mulai Januari depan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya dalam ucapan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, pada Selasa.

Mengambil contoh penjawat awam gred 11 yang menerima kadar KGT RM80 sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kakitangan tersebut akan menerima kadar KGT asas RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100.

“Ini menjadikan jumlah KGT diterima beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya.

Menurutnya, inisiatif Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 akan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah manakala RM350 bagi pesara dan veteran tidak berpencen yang diberi pada Januari 2023.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka. 

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti itu disimpan bagi tujuan award wang tunai pada masa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat dan menteri kabinet.

MAPPA XVIII yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dihadiri lebih 4,000 penjawat awam secara fizikal dan 10,000 mengikuti di dalam talian.

Antara inisiatif lain, kerajaan juga menambah kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah 15 hari kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun.

Menurut Perdana Menteri, ia akan memberi manfaat kepada 500,000 guru bagi urusan mustahak dan kecemasan.

“Tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun,” katanya pada hari ini.

Author