Antarabangsa
Hospital di Gaza berdepan malapetaka dengan pesakit dibiar mati tanpa dirawat
Beribu-ribu penduduk masih terperangkap di dalam kemudahan perubatan terbesar di Semenanjung Gaza, Hospital Al-Shifa ketika Rejim Zionis berterusan mengepung dan melakukan pengeboman kelmarin, hari ketiga berturut-turut, lapor laman berita Middle East Eye.
- Beribu-ribu penduduk masih terperangkap di dalam kemudahan perubatan terbesar di Semenanjung Gaza, Hospital Al-Shifa ketika Rejim Zionis berterusan mengepung dan melakukan pengeboman kelmarin, hari ketiga berturut-turut, lapor laman berita Middle East Eye.
- Setakat petang kelmarin, 22 hospital dan 49 pusat perubatan tidak dapat berfungsi sepenuhnya berikutan pengeboman dan ketiadaan bahan api serta elektrik sejak 9 Oktober lalu.
- Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila berkata, tentera Israel tidak memindahkan orang ramai sebaliknya, memaksa pesakit yang cedera ke jalan-jalan serta membiarkan mereka menanti ajal.
- Mai berkata, hospital-hospital di Gaza turut berdepan malapetaka dengan pesakit dibiar mati tanpa dirawat.
- Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Dr. Munir al-Borsh memberitahu, kira-kira 40 penduduk yang berlindung di Hospital Al-Shifa terbunuh selepas ditembak oleh kereta kebal askar Israel ketika mereka cuba keluar melalui pintu pagar utama bangunan berkenaan.
BANDAR GAZA – Beribu-ribu penduduk masih terperangkap di dalam kemudahan perubatan terbesar di Semenanjung Gaza, Hospital Al-Shifa ketika Rejim Zionis berterusan mengepung dan melakukan pengeboman kelmarin, hari ketiga berturut-turut, lapor laman berita Middle East Eye.
Setakat petang kelmarin, sebanyak 22 buah hospital dan 49 pusat perubatan tidak dapat berfungsi sepenuhnya berikutan pengeboman dan ketiadaan bahan api serta elektrik sejak 9 Oktober lalu.
“Askar Israel menyasarkan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Al-Shifa serta turut memusnahkan wad bersalin serta bilik bedah,” kata jurucakap pentadbiran Gaza dalam sidang akhbar di Deir al Balah.
Tambahnya, perkembangan tersebut menjadikan angka korban penduduk Palestin sejak perang bermula pada 7 Oktober lalu meningkat kepada 11,180 orang.
Ujarnya lagi, pengeboman berterusan Zionis turut mencetuskan kebakaran di salah satu wad hospital berkenaan, manakala tangki oksigen turut musnah.
“Ada antara doktor menjadi sasaran askar Israel dan cedera ketika bergerak di dalam hospital. Seorang daripada mereka cedera di belakang leher,” jelas jurucakap sama.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila berkata, tentera Israel tidak memindahkan orang ramai sebaliknya, memaksa pesakit yang cedera ke jalan-jalan serta membiarkan mereka menanti ajal.
Tambah Mai, hospital-hospital di Gaza turut berdepan malapetaka dengan pesakit dibiar mati tanpa dirawat.
“Antara yang paling teruk terjejas ialah mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang kerana tidak dapat menjalani dialisis,” ujarnya sambil menambah, kira-kira 3,000 pesakit kanser di hospital Rantisi dan Turkiye turut berisiko mati.
“Semua wanita hamil terutamanya yang mengalami kehamilan berisiko tinggi berada dalam bahaya kerana mereka gagal mencari pihak yang boleh menyediakan penjagaan perubatan di Gaza. Semua wanita hamil yang sudah hampir melahirkan tidak akan mendapat bantuan perubatan,” ujarnya.
Pagi kelmarin, askar Israel terus mengepung Hospital Al-Shifa dan mengebom wad bersalin sehingga membunuh sekurang-kurangnya tiga jururawat.
“Seorang jururawat yang tinggal di Jalan Tal al-Hawa memberitahu saya bahawa dia menyaksikan mayat bergelimpangan di atas jalan dari tingkap rumahnya. Tiada siapa boleh pergi mengambil mayat-mayat tersebut,” kata seorang jururawat, Aya Muhammed.
Tambahnya, mereka yang cedera dibiar berdarah sehingga mati kerana penembak tepat askar Israel sentiasa bersedia menembak sesiapa sahaja yang cuba menghampiri mereka.
“Kami melihat pesakit dan mangsa yang cedera mati sedangkan kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa mereka,” jelasnya.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Dr. Munir al-Borsh memberitahu, kira-kira 40 penduduk yang berlindung di Hospital Al-Shifa terbunuh selepas ditembak oleh kereta kebal askar Israel ketika mereka cuba keluar melalui pintu pagar utama bangunan berkenaan.
Tambah Munir, askar Israel turut mengebom tangki air di kompleks perubatan itu sepanjang malam, menyebabkan hanya satu tangki dapat digunakan kelmarin.
Ia hanya mencukupi untuk 12 cawan air sejam untuk 15,000 orang yang terperangkap di dalam hospital tersebut. – AGENSI
Sumber: Kosmo