Antarabangsa
Aliran bantuan kemanusiaan di Gaza perlahan, WFP kritik pemeriksaan terlalu ketat di Rafah
Pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), Cindy McCain mengkritik kaedah pemeriksaan yang terlalu ketat ke atas trak di persimpangan Rafah dari Mesir ke Gaza sehingga memperlahankan aliran bantuan kemanusiaan.
- Pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), Cindy McCain mengkritik kaedah pemeriksaan yang terlalu ketat ke atas trak di persimpangan Rafah dari Mesir ke Gaza sehingga memperlahankan aliran bantuan kemanusiaan.
- Pintu sempadan Rafah telah menjadi titik utama penyampaian bantuan sejak Israel mengenakan ‘pengepungan menyeluruh’ ke atas Gaza pada 7 Oktober.
- Amerika Syarikat (AS) mengetuai rundingan dengan Israel, Mesir dan PBB untuk cuba mewujudkan mekanisme penyampaian yang berterusan bagi bantuan kepada Gaza.
- McCain berkata, setiap trak perlu menurunkan muatannya di pusat pemeriksaan untuk diperiksa, kemudian memuatkannya semula apabila pemeriksaan selesai.
- McCain turut melabel birokrasi itu sebagai satu kegilaan walaupun memahami keperluan pemeriksaan.
WASHINGTON: Pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), Cindy McCain mengkritik kaedah pemeriksaan yang terlalu ketat ke atas trak di persimpangan Rafah dari Mesir ke Gaza sehingga memperlahankan aliran bantuan kemanusiaan.
Pintu sempadan Rafah telah menjadi titik utama penyampaian bantuan sejak Israel mengenakan ‘pengepungan menyeluruh’ ke atas Gaza pada 7 Oktober.
Amerika Syarikat (AS) mengetuai rundingan dengan Israel, Mesir dan PBB untuk cuba mewujudkan mekanisme penyampaian yang berterusan bagi bantuan kepada Gaza.
Mereka bertelagah mengenai prosedur untuk memeriksa bantuan dan pengeboman di sebelah sempadan Gaza.
McCain berkata, pihaknya hanya dapat membawa masuk sebilangan kecil trak sedangkan terdapat keperluan kemanusiaan yang besar.
Katanya, WFP memerlukan akses selamat dan tidak dikawal ke Gaza supaya dapat memberikan makanan dan memastikan orang ramai tidak mati kebuluran.
Walaupun terdapat beberapa penghantaran makanan, air dan ubat-ubatan yang terhad sejak Sabtu, bahan api tidak dibenarkan masuk.
Israel bimbang tentang kemungkinan penghantaran bahan api dimanipulasi oleh Hamas.
Tiga trak WFP membawa kira-kira 60 tan makanan cukup untuk 200,000 orang sehari memasuki Gaza pada Sabtu.
Satu trak WFP sebagai tambahan turut telah melintasi sejak itu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, ia telah menerima 74 trak bantuan.
McCain berkata, setiap trak perlu menurunkan muatannya di pusat pemeriksaan untuk diperiksa, kemudian memuatkannya semula apabila pemeriksaan selesai.
McCain turut melabel birokrasi itu sebagai satu kegilaan walaupun memahami keperluan pemeriksaan.
Tambah McCain lagi, WFP perlu mengumpul AS$100 juta untuk memberi makan kepada lebih sejuta orang di Gaza hingga akhir tahun ini.
Sumber: Astro Awani