Antarabangsa
Hina Nabi Muhammad SAW, wanita Islam turun protes bantah ahli politik nasionalis Hindu BJP
Sekumpulan wanita Islam mengadakan protes bantahan terhadap ahli politik dari Parti Bharatiya Janata (BJP), Thakur Raja Singh di Patung Ambedkar, Tank Bund semalam kerana mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.

- Sekumpulan wanita Islam membuat protes susulan menentang kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam yang dibuat ahli politik BJP, Thakur Raja Singh.
- Aktivis tuntut kerajaan ambil tindakan terhadap kebencian dalam politik berhaluan kanan dan meminta polis lebih tegas menjaga keharmonian di India.
- Penahanan tanpa mengikut prosedur sewajarnya dan kemudian (individu terbabit) dibebaskan mencerminkan sikap tidak serius polis dalam membendung ucapan kebencian itu, kata aktivis.
- Dalam satu hantaran video di media sosial pada Isnin lalu, Raja Singh bercakap mengenai perkara yang terlalu sensitif dan menyinggung perasaan orang Islam dengan rujukan jelas kepada Nabi Muhammad SAW.
INDIA – Sekumpulan wanita Islam mengadakan protes bantahan terhadap ahli politik dari Parti Bharatiya Janata (BJP), Thakur Raja Singh di Patung Ambedkar, Tank Bund semalam kerana mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.
Aktivis, Khaleeda Parveen dan Kaneez Fathima menuntut Kerajaan India mengambil tindakan tegas terhadap kebencian yang disebarkan politik berhaluan kanan dan menuntut polis bersikap lebih tegas supaya keamanan dan keharmonian di Telangana tidak tergugat.
Mereka mengingatkan bahawa ini bukanlah kali pertama penggubal undang-undang digantung kerana mengeluarkan ucapan kebencian dan hasutan.
Penahanan tanpa mengikut prosedur sewajarnya dan kemudian (individu terbabit) dibebaskan mencerminkan sikap tidak serius polis dalam membendung ucapan kebencian itu, kata aktivis terbabit menerusi nota bantahan.
Selasa lalu, polis menahan Thakur Raja Singh, seorang ahli parlimen di negeri selatan Telangana, beberapa bulan selepas parti nasionalis berhaluan kanan BJP menggantung jurucakapnya yang menghina Nabi Muhammad SAW, sekali gus menyaksikan tindak balas diplomatik terhadap India.
Dalam satu hantaran video di media sosial pada Isnin lalu, Raja Singh bercakap mengenai perkara yang terlalu sensitif dan menyinggung perasaan orang Islam dengan rujukan jelas kepada Nabi Muhammad SAW.
Sumber: The Hindu
