Connect with us

Terkini

“Hukuman sebatan wajar digantikan dengan khidmat masyarakat,” – Peguam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan hukuman sebat yang diguna pakai pada masa ini terlalu kejam dan tidak berperikemanusian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

“Hukuman sebatan wajar digantikan dengan khidmat masyarakat,” - Peguam
Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  • Kerajaan digesa mansuhkan hukuman sebatan terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan.
  • Peguam Fahri Azzat menyeru agar fokus ditumpukan pada “bentuk hukuman kreatif, bermakna dan berfaedah dari segi sosial”, seperti khidmat masyarakat dan menggunakan set kemahiran banduan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
  • “Memberi kuasa budi bicara kepada hakim akan menjadi satu “langkah ke hadapan”, walaupun lebih baik untuk terus memansuhkan hukuman sebat sama sekali atas dasar konsistensi,” – peguam Edwin Tomas.
  • Hukuman sebat bersifat diskriminasi terhadap lelaki berusia antara 18 dan 50 tahun kerana hanya golongan ini dikenakan hukuman itu.
  • “Hukuman sebat dianggap penyeksaan mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa. Penyelidikan menunjukkan penggunaan hukuman dera menggalakkan penerimaan keganasan fizikal serta penggunaan keganasan oleh pihak penguatkuasa,” – Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan hukuman sebat yang diguna pakai pada masa ini terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, hukuman yang diwarisi sejak zaman penjajah itu perlu dikaji semula.

Menurutnya, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang yang berkaitan agar hakim diberi kuasa budi bicara untuk mengenakan atau mengetepikan sebatan sebagai hukuman.

Beliau juga berkata, terdapat kemungkinan sebatan akan terus dimansuhkan sebagai satu bentuk hukuman.

Susulan kenyataan itu, dua peguam dan sebuah kumpulan hak asasi manusia menggesa kerajaan memansuhkan sebatan sebagai hukuman terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan.

Peguam Fahri Azzat berkata, mengaibkan seseorang dengan sebatan selepas menyekat kebebasannya dengan hukuman penjara adalah sesuatu yang tidak bertamadun.

Justeru, beliau menyeru agar fokus ditumpukan pada “bentuk hukuman yang kreatif, bermakna dan berfaedah dari segi sosial”, seperti khidmat masyarakat dan menggunakan set kemahiran banduan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Tambahnya, kerajaan patut mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai bentuk hukuman lain.

Turut bersama dengan gesaan tersebut adalah peguam Edwin Tomas yang berkata, memberi kuasa budi bicara kepada hakim akan menjadi satu “langkah ke hadapan”, walaupun lebih baik untuk terus memansuhkan hukuman sebat sama sekali atas dasar konsistensi.

“Segelintir hakim mungkin menjatuhkan (hukuman sebat) manakala yang lain tidak akan menjatuhkannya bagi kesalahan yang sama.

“Ini bercanggah dengan prinsip kesaksamaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tomas juga berkata, hukuman sebat bersifat diskriminasi terhadap lelaki berusia antara 18 dan 50 tahun kerana hanya golongan ini yang dikenakan hukuman itu.

Beliau mengesyorkan Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang memperuntukkan sebatan sebagai hukuman dipinda supaya ia selaras dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menentang penyeksaan dan hukuman kejam yang lain.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata, Malaysia, sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB, mesti bercita-cita untuk mencapai standard antarabangsa dengan berusaha ke arah memansuhkan hukuman sebat.

Katanya, hukuman sebat dianggap sebagai satu bentuk penyiksaan mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa. Penyelidikan menunjukkan penggunaan hukuman dera menggalakkan penerimaan keganasan fizikal serta penggunaan keganasan oleh pihak penguatkuasa, tambahnya.

Untuk rekod, undang-undang memperuntukkan Mahkamah Tinggi boleh mengenakan hukuman sebat terhadap seseorang pesalah tidak lebih 24 kali, Mahkamah Seksyen pula tidak lebih 12 kali dan Mahkamah Majistret tidak lebih enam kali.

Bagaimanapun, undang-undang Malaysia mengecualikan beberapa golongan daripada hukuman tersebut antaranya; golongan wanita kerana sebatan boleh menjejas keupayaan beranak, lelaki berumur 50 tahun ke atas, orang yang disahkan tidak sihat oleh pegawai perubatan dan orang gila.

Di bawah Kanun Acara Jenayah, ada dua jenis rotan digunakan. Jenis nipis untuk kes rasuah, kesalahan jenayah pecah amanah dan jenayah kolar putih, manakala jenis tebal digunakan untuk jenayah serius seperti kes rogol dan gangguan seksual.

Difahamkan, rotan jenis nipis tidak begitu merosakkan badan, akan tetapi ia lebih menyakitkan. Merotan dengan rotan tebal yang melebihi lima kali boleh mengakibatkan kematian pucuk dan kematian rasa dari punggung ke bawah yang payah dipulih.

Author