Connect with us

Terkini

Isu buku “Gay is OK!: A Christian Perspective”, Mengimbangi Kebebasan Bersuara Di Malaysia 

Ketika artikel ini ditulis, alasan penghakiman di dalam kes MENTERI DALAM NEGERI & ANOR v CHONG TON SIN & ORS masih belum diterbitkan oleh mahkamah rayuan kepada umum. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
hishammarzuki

Published

on

Isu buku "Gay is OK!: A Christian Perspective", Mengimbangi Kebebasan Bersuara Di Malaysia 
Foto: Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

Ketika artikel ini ditulis, alasan penghakiman di dalam kes MENTERI DALAM NEGERI & ANOR v CHONG TON SIN & ORS masih belum diterbitkan oleh mahkamah rayuan kepada umum. 

Pada 25 September lalu, Mahkamah Rayuan Sivil di Putrajaya telah membenarkan rayuan oleh pihak perayu mengikut Penghakiman majoriti 2-1 dengan menukar keputusan Mahkamah Tinggi Malaya sebelum ini yang telah membenarkan permohonan semakan kehakiman responden-responden. 

Ketika di Mahkamah Tinggi, Hakim telah membenarkan semakan kehakiman oleh responden-responden untuk perintah antara lain bahawa buku bertajuk “Gay is OK!: A Christian Perspective” tidak wajar disekat. 

Mahkamah Tinggi juga mengambil pendekatan bahawa tiada bukti yang telah dikemukakan bahawa dengan penerbitan buku tersebut telah mendatangkan ancaman bahaya dan menyebabkan keharmonian awam telah tergugat. 

Malah, beberapa peruntukan di dalam Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas pertimbangan bersama dengan prinsip Hak Asasi Manusia di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR). 

Persoalan utama di dalam artikel ini bukanlah untuk menganalisis dapatan Mahkamah Rayuan, namun adalah untuk melihat kewujudan akta ini di dalam mengimbangan Hak Asasi seperti termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. 

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa setiap warganegara mempunyai kebebasan bersuara. 

Namun ia tidak memberi kebebasan kepada warganegara untuk mempersoalkan hak istimewa bumiputera, isu warganegara, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan perkara berkenaan Kedaulatan Raja-Raja. 

Ini juga adalah kerana wujud Akta Hasutan 1948 yang telah menghadkan Hak bersuara tersebut demi memastikan keamanan dan keharmonian. 

Malah, kebebasan bersuara ini telah dijamin mengikut perlembagaan serta diputuskan melalui keputusan-keputusan Mahkamah sebelum ini. 

Mengikut Akta 301, Kementerian Dalam Negeri telah merampas buku tersebut mengikut Seksyen 7(1) Akta 301 berdasarkan alasan kandungannya adalah memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam. 

KDN juga telah mewartakan perintah pengharaman buku tersebut yang telah berkuatkuasa pada 27 November 2020.

Berdasarkan kepada keputusan kes ini, Mahkamah Rayuan juga telah menyatakan secara majoriti bahawa kuasa KDN di dalam merampas buku tersebut adalah munasabah dan tidak boleh dicabar di Mahkamah berkenaan peruntukan tersebut. 

Malah, perkara utama yang diambil kira ialah tajuk buku tersebut akan memprejudis ketenteraman, moral dan kepentingan awam. 

Berdasarkan keputusan Mahkamah tersebut, tindakan yang diambil oleh KDN di dalam pengharaman buku tersebut adalah suatu yang sah mengikut Undang-Undang di dalam menyekat doktrin budaya liberal dan songsang daripada bercambah di dalam norma masyarakat budaya ini. 

Mahkamah juga mengambil kira kepentingan Masyarakat secara luas walaupun dikatakan kononnya kandungan buku itu adalah daripada perspektif agama Kristian. – The Merdeka Times 

Muhamad Hisham Marzuki adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *