Terkini
Umum peruntukan untuk tiga sekolah SJK di Pelangai, Timbalan Menteri didakwa salah guna kuasa
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengumumkan peruntukan kepada tiga buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

- Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengumumkan peruntukan kepada tiga buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
- Dakwaan itu dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menegaskan pengumuman terbabit adalah satu pengaruh tidak wajar oleh kerajaan semasa tempoh pilihan raya.
- “BERSIH telah mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mematuhi larangan 3C: Tidak bersyarat (no conditions), tidak berkempen (no campaign) dan tidak bawa calon (no candidates).”
- “Berdasarkan garis panduan ini, pengumuman oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB Lim yang mensasarkan tiga sekolah di kawasan PRK Pelangai memang melanggari garis panduan No Campaign, tidak berkempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
- BERSIH berkata sekiranya peruntukan tambahan itu diberikan kepada semua SJKC ataupun SJKT di seluruh Pahang, pengumuman tersebut boleh dianggap tidak khusus kepada sekolah-sekolah di DUN tersebut sahaja.
KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengumumkan peruntukan kepada tiga buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Dakwaan itu dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menegaskan pengumuman terbabit adalah satu pengaruh tidak wajar oleh kerajaan semasa tempoh pilihan raya.
“BERSIH telah mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mematuhi larangan 3C: Tidak bersyarat (no conditions), tidak berkempen (no campaign) dan tidak bawa calon (no candidates).
“Ia agar sebarang pengumuman oleh semua Kementerian dan Agensi Persekutuan dalam tempoh pilihan raya tidak disalahgunakan untuk memenangi pilihan raya.
“Berdasarkan garis panduan ini, pengumuman oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB Lim yang mensasarkan tiga sekolah di kawasan PRK Pelangai memang melanggari garis panduan No Campaign, tidak berkempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BERSIH berkata sekiranya peruntukan tambahan itu diberikan kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ataupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Pahang, pengumuman tersebut boleh dianggap tidak khusus kepada sekolah-sekolah di DUN tersebut sahaja.
“Walaupun perkara ini masih belum menjadi kesalahan dari segi undang-undang semasa, BERSIH menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah bercanggahan dengan prinsip-prinsip pilihan raya adil dan bersih kerana pihak pembangkang tidak ada sumber atau jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya.
Pada 22 September lalu, Hui Ying dilaporkan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 bagi SJKC Manchi dan SJKC Telemong manakala SJKT Ladang Renjok akan menerima peruntukan berjumlah RM50,000.
Hui Ying berkata, jumlah itu ialah tambahan kepada peruntukan yang diberikan sebelum ini kepada semua sekolah berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan di Pahang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan 3 Oktober sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian pilihan raya kecil DUN Pelangai. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Bersih
