Antarabangsa
Lebih 2,000 maut akibat gempa bumi, Maghribi berkabung tiga hari
Jumlah korban gempa bumi kuat yang melanda Maghribi, lewat malam kelmarin, terus meningkat melepasi 2,000 mangsa kini, manakala lebih 2,000 lagi mengalami kecederaan dengan ramai yang parah.
- Jumlah korban gempa bumi kuat melanda Maghribi, lewat malam kelmarin, terus meningkat melepasi 2,000 mangsa kini, manakala lebih 2,000 lagi mengalami kecederaan dengan ramai yang parah.
- Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan, semalam, berkata sekurang-kurang 2,012 kematian disahkan dan 2,059 mangsa cedera, termasuk 1,404 berada dalam keadaan kritikal.
- Maghribi mengisytiharkan perkabungan negara selama tiga hari, menurut pengumuman dikeluarkan pihak istana, Sabtu lalu.
- Raja Maghribi menitahkan sebuah suruhanjaya ditubuhkan serta-merta bagi pelaksanaan program pemulihan dan bantuan kecemasan.
- Terdahulu, Pusat Geofizik Maghribi memaklumkan gempa berlaku sejurus selepas jam 11 malam itu berukuran 7.2 magnitud menggegarkan Ighil di Pergunungan Atlas.
RABAT: Jumlah korban gempa bumi kuat yang melanda Maghribi, lewat malam kelmarin, terus meningkat melepasi 2,000 mangsa kini, manakala lebih 2,000 lagi mengalami kecederaan dengan ramai yang parah.
Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan, semalam, berkata sekurang-kurang 2,012 kematian telah disahkan dan 2,059 mangsa cedera, termasuk 1,404 berada dalam keadaan kritikal.
Jumlah itu mencakupi 1,293 korban direkodkan di wilayah Al-Haouz yang juga pusat gempa kali ini, dan 452 di wilayah Taroudant – dua kawasan paling terkesan dalam bencana gempa bumi paling berdarah sepanjang tempoh lebih enam dekad di Maghribi.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak berkuasa terus bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk memindahkan mangsa yang cedera.
Maghribi turut mengisytiharkan perkabungan negara selama tiga hari, menurut pengumuman dikeluarkan pihak istana, Sabtu lalu.
“Negara berkabung selama tiga hari, dengan bendera dikibarkan separuh tiang di semua bangunan awam,” menurut kenyataan disiarkan agensi berita rasmi MAP selepas Raja Mohammed VI mempengerusikan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perihal malapetaka itu.
Raja Maghribi turut menitahkan sebuah suruhanjaya ditubuhkan serta-merta bagi pelaksanaan program pemulihan dan bantuan kecemasan.
Ia meliputi pembinaan semula kediaman yang musnah di kawasan terkesan, serta penjagaan kepada rakyat yang tertekan akibat bencana itu, khususnya golongan rentan dan yatim piatu.
Malah, baginda juga menitahkan supaya ‘kemudahan, makanan dan semua keperluan asas lain’ disediakan kepada mereka yang memerlukan, selain satu akaun khas diwujudkan di bank pusat untuk sumbangan bantuan.
Terdahulu, Pusat Geofizik Maghribi memaklumkan gempa berlaku sejurus selepas jam 11 malam itu berukuran 7.2 magnitud yang menggegarkan Ighil di Pergunungan Atlas.
Ighil merupakan kawasan perkampungan pertanian kecil yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) barat daya bandar Marrakech.
Bagaimanapun, agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mencatatkan gempa itu berukuran 6.8 magnitud pada kedalaman 18.5km.
Gempa berkenaan dilapor menggegarkan wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakech, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.
Malah, gegaran itu dilaporkan turut dirasai hingga sejauh Huelva dan Jaen di wilayah Andalusia, selatan Sepanyol.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 300,000 penduduk terkesan di Marrakech serta kawasan sekitar, manakala Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menjangkakan usaha menangani impak bencana itu mengambil masa berbulan-bulan atau boleh hingga bertahun-tahun.
Menurut USGS, gempa bumi kali ini adalah yang paling berdarah di Maghribi selepas bencana sama pada 1960 dianggarkan meragut sekurang-kurang 12,000 nyawa.
Seorang penduduk perkampungan Moulay Brahim di Pergunungan High Atlas yang hanya dikenali sebagai Lahcen berusia 40-an, tidak dapat menahan kesedihan susulan kematian isteri dan empat anaknya dalam tragedi itu.
“Saya hilang segala-galanya. Saya tidak berdaya melakukan apa-apa buat masa ini. Saya hanya mahu bersendirian dan meratap,” katanya sebak dengan suara amat lemah.
Tiga mayat anak perempuan Lahcen telah dikeluarkan dari bawah runtuhan kediaman mereka, manakala isteri bersama anak lelakinya masih terperangkap dan dipercayai turut maut, setakat tengah hari semalam. Ketika gempa melanda, Lahcen berada di luar kediaman mereka. – AGENSI
Sumber: Berita Harian